Polis Indonesia tahan 11 militan rancang serang gereja

|

views

Polis Indonesia berjaya menggagalkan rancangan serangan terhadap beberapa  gereja di pinggir timur Papua apabila menahan 11 suspek setakat ini.

Terdahulu pada Jumaat lalu, pasukan elit anti pengganas menahan 10 suspek dalam beberapa serbuan di daerah Merauke di Papua.

Menurut Ketua Polis Merauke, Untung Sangaji, serbuan dilakukan selepas menerima maklumat berkaitan rancangan serangan di wilayah yang majoriti penduduknya beragama Kristian itu.

Sangaji berkata mereka yang ditahan itu disyaki anggota Jemaah Anshorut Daulah, yang bersumpah taat setia kepada Daesh dan melancarkan beberapa siri serangan pengebom berani mati di Indonesia.

“Mereka juga merancang menyerang beberapa gereja di sekitar Merauke dan siasatan mengenainya masih dijalankan.

“Ada antara suspek terbabit dipercayai mempunyai kaitan dengan serangan pengebom berani mati di luar gereja Roman Katolik ketika sambutan Palm Sunday Mac lalu di Makassar,” katanya.

Dalam serbuan itu, polis menahan seorang lagi suspek kelmarin dan merampas pelbagai bahan kimia, bahan letupan, pistol angin, bahan propaganda pengganas dan peta rancangan serangan dari beberapa lokasi.

Sejak kebelakangan ini, ancaman baru daripada Daesh atau kumpulan radikal yang menyokongnya, menyasarkan pasukan keselamatan dan rumah ibadat bukan Islam.

Berkaitan ⇢