“Perlawanan pasti menarik” – Sumareh

|

views

PEMAIN naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh tidak menafikan perlawanan bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jumaat ini bukanlah tugas mudah.

Namun pemain kelahiran Gambia berusia 26 tahun ini mempunyai keyakinan tinggi terhadap rakan-rakan sepasukannya untuk mempamerkan aksi terbaik.

“Kedua-dua pasukan sudah bersedia. Ia bakal menjadi perlawanan yang menarik. Saya harap kami akan menang.

“Saya yakin dengan pasukan ini sekarang yang mempunyai pemain-pemain berpotensi termasuk beberapa pemain naturalisasi lain tahun ini. Sebelum ini hanya saya seorang sahaja.

“Tetapi apa yang penting adalah penyampaian di atas padang nanti, kami perlu berjuang untuk dapatkan keputusan yang baik.

“Jika kita memberi segalanya, siapa tahu kita akan menang,” jelasnya pada sidang media harian Harimau Malaya pada Rabu.

Dalam pada itu, Sumareh memberitahu dia juga telah menonton rakaman perlawanan latihan (Kuwait) dan persahabatan antarabangsa (Bahrain) bagi menilai kembali prestasinya.

“Perlawanan antarabangsa tidak sama dengan aksi liga. Kami perlu bermain dengan bijak dan tidak boleh kerap hilang bola.

“Terdapat kesilapan-kesilapan dalam dua perlawanan sebelum ini dan kami akan cuba tidak melakukannya lagi pada perlawanan bertemu UAE nanti,” ujarnya.

Malaysia bakal turun berdepan dengan tuan rumah UAE awal pagi Jumaat ini bagi aksi pertama Kumpulan G Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Selepas itu skuad kendalian Tan Cheng Hoe ini bakal bertemu Vietnam (11 Jun) dan Thailand pada 15 Jun.

Foto: FAM

 

Berkaitan ⇢