Penyewa premis PUNB diberi diskaun 50 peratus-Noh

|

views

Berita baik buat penyewa premis perniagaan di bawah Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) apabila perbadanan itu bersetuju melanjutkan penangguhan pembayaran balik pembiayaan ke atas prinsipal dan pemberian diskaun sebanyak 50 peratus. 

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, pemberian moratorium itu akan bermula dari 1 Julai hingga 31 Disember 2021 bagi membantu peniaga yang terkesan akibat Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

“Seramai 230 penyewa premis perniagaan PUNB di seluruh negara layak menerima diskaun sewa sebanyak 50 peratus bagi tempoh enam bulan bermula 1 Julai ini. Inisiatif ini melibatkan anggaran kutipan sewa sebanyak RM2.89 juta.

“PUNB juga memberi penangguhan pembayaran pembiayaan ke atas prinsipal membabitkan 2,330 Rakan Usahawan PUNB dan 718 penerima pembiayaan Bumiputera Relief Financing (BRF),” katanya pada sidang media di bangunan Kumpulan Muara, di Shah Alam, Selangor, hari ini.

Dalam pada itu, Noh memaklumkan semua Rakan Usahawan PUNB telah mendapat penangguhan pembayaran pembiayaan bagi tempoh Januari hingga Jun 2021 secara automatik layak menerima inisiatif ini.

“Usahawan yang ingin menolak penangguhan pembiayaan perniagaan boleh memaklumkan kepada pegawai pemantau akaun mereka dan membuat pembayaran seperti biasa,” katanya.

Dalam pada itu, Noh juga memuji sikap beberapa syarikat yang menolak inisiatif moratorium itu dan mahu membuat pembayaran balik seperti biasa.

Menurut beliau, sebagai tanda penghargaan PUNB akan memberikan usahawan terbabit lima bintang dalam penilaian dan laluan pantas kepada pembiayaan seterusnya.

“Saya rasa bangga dengan usahawan-usahawan Bumiputera, walaupun kita telah berikan moratorium secara automatik kepada usahawan-usahawan PUNB tapi ada 87 syarikat tidak ambil moratorium dan terus bayar seperti biasa.

“Kalau dia nak buat pinjaman akan datang, kita akan berikan keutamaan dengan lebih cepat. Antara syarikat yang tidak mengambil moratorium ialah klinik, farmasi, bengkel, kedai emas dan restoran.

“Ini kerana mereka merasakan masih boleh menjana pendapatan walaupun PKP, mereka masih boleh beroperasi seperti biasa,” katanya.

Berkaitan ⇢