Kerajaan baharu Israel tiada beza dengan kerajaan Netanyahu

|

views

Pejuang Hamas tidak mengharapkan sebarang perubahan drastik ke arah positif dengan pertukaran pemerintahan kerajaan Israel yang baharu hari ini.

Jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri berkata, Hamas tidak mengharapkan perubahan dalam kerajaan penceroboh, kerana mereka bersatu dengan dasar membunuh dan merampas hak Palestin.

Manakala Setiausaha Agung Pergerakan Inisiatif Kebangsaan Palestin Mustafa Barghouti pula menegaskan bahawa kerajaan baharu ini tiada beza dengan kerajaan pimpinan Netanyahu sebelum ini.

“Kerajaan baharu ini tiada bezanya dengan pemerintahan Netanyahu, kerana ia adalah kerajaan penjajah, penceroboh dan mengamalkan diskriminasi kaum seperti kerajaan sebelum ini dan bahkan lebih teruk,” tegas Barghouti.

Beliau turut memberi amaran bahawa kerajaan Bennett akan menyokong penyelesaian pendudukan haram dan diskriminasi kaum serta dilihat bakal lebih ekstrem berbanding pemerintahan sebelum ini.

Ia dapat dibuktikan berdasarkan kenyataan Bennett pada Ahad mengenai perluasan kawasan penempatan ke kawasan C Tebing Barat.

Di bawah Perjanjian Oslo 1995 antara Israel dan pihak berkuasa Palestin, Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur, dibahagikan kepada tiga bahagian – Kawasan A, B, dan C – dengan kawasan C di bawah kawalan pentadbiran dan keselamatan Israel sehingga perjanjian akhir dengan Palestin dicapai.

Di bawah perjanjian gabungan baharu antara lapan parti Israel, Perdana Menteri Neftali Bennett akan menerajui pentadbiran Israel selama dua tahun diikuti parti Yair Lapid untuk tempoh dua tahun berikutnya.

Berkaitan ⇢