Sijil halal mengelirukan, hampir 28 tan daging dirampas

|

views

Maklumat pada sijil halal yang mengelirukan menyebabkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas hampir 28 tan daging kerbau sejuk beku ketika mengadakan pemeriksaan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini, kelmarin.

Dalam pemeriksaan pada 5.45 petang itu, sepasukan anggota Maqis memeriksa sebuah kontena yang membawa daging kerbau sejuk beku dari India.

Pengarah Maqis Pulau Pinang Noriah Dahlan berkata, hasil pemeriksaan mendapati maklumat pada sijil halal yang dikeluarkan dari negara pengeksport adalah tidak tepat dan berbeza dengan maklumat label pada bungkusannya.

“Berikutan maklumat yang mengelirukan, kita merampas 1,449 kotak daging kerbau sejuk beku seberat 27,998 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM427,691.57 untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

“Dalam seksyen ini, mana-mana orang yang memberikan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan keluaran pertanian adalah menjadi suatu kesalahan.

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-keduanya sekali,” katanya.

Berkaitan ⇢