Ahli parlimen BN tidak akan sokong undi tidak percaya

|

views

Ahli-ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersetuju Parlimen bersidang semula, namun tidak akan menyokong usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan pada sidang berkenaan kelak.

Kumpulan Ahli-ahli Parlimen UMNO dalam satu kenyataan bersama hari ini, berkata mereka menjunjung kasih Titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu tentang keperluan mengadakan persidangan Parlimen secepat mungkin serta memperkasa langkah-langkah kawalan penularan wabak COVID-19 dalam negara.

Mereka berkata amat mengharapkan sidang Parlimen tersebut dapat memberi tumpuan kepada isu-isu yang dihadapi rakyat dalam mendepani pandemik COVID-19.

“Kami bersetuju agar Parlimen bersidang semula mengikut Peraturan Mesyuarat sedia ada atau mengikut apa-apa kesesuaian pindaan yang diperlukan.

“… dan bagi menjunjung titah Tuanku supaya suhu politik dapat diredakan maka kami setuju untuk tidak menyokong usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan.

“Ahli-ahli Parlimen daripada parti UMNO dan BN juga sepakat untuk terus mendukung Pelan Pemulihan Negara yang telah dibentangkan oleh kerajaan sebagai suatu usaha dalam memperkasa langkah-langkah kawalan penularan wabak COVID-19 dalam negara,” kata mereka lagi.

Pada 16 Jun lepas, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda bertitah, ia bagi membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dapat dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.

Tambah Ahmad Fadil, dengan pembukaan semula Parlimen, Agong menzahirkan harapan agar ahli-ahli Dewan Rakyat juga boleh berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat yang dalam kesempitan dan bagi memulihkan semula ekonomi negara.

Mengulas lanjut, kenyataan itu juga menyebut barisan menteri serta timbalan menteri daripada UMNO dan BN akan memastikan komitmen sepenuhnya dalam melaksanakan tugas dan peranan masing-masing.

“.. terutamanya melibatkan tugas dan portfolio yang berkait secara langsung dalam mengekang penularan COVID-19, pelaksanaan vaksinasi serta pemulihan ekonomi rakyat dan negara.

“Apa yang pasti keutamaan Ahli-ahli Parlimen daripada parti UMNO dan BN adalah demi kelangsungan hidup rakyat dengan fokus kepada keselamatan dan kesejahteraan di samping masa hadapan negara Malaysia,” katanya lagi.

Berkaitan ⇢