Pelan Pembangunan Semula LTSAAS bakal jana RM10 bilion

|

views

Pelan Pembangunan Semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) dilaksanakan MAHB dijangka mampu menjana pendapatan sebanyak RM10 bilion kepada ekonomi negara.

Ketua KLIA Aeropolis MAHB, Randhill Singh berkata, nilai itu menjadikan kadar produktiviti di sektor aeroangkasa hampir lima kali lebih tinggi, berbanding sektor lain, termasuk logistik dan pembangunan hartanah.

“Kita percaya pelan pembangunan semula ini akan melipatgandakan perolehan LTSAAS.

“Sasaran awal kita menjangkakan perolehan tahunan LTSAAS akan meningkat empat kali ganda, seterusnya dapat memastikan prestasi kewangan MAHB lebih kuat,” katanya pada program ‘In Conversation with Malaysia Airports: The Rise of Subang Airport as APAC’s Preferred MRO Hub’ yang diadakan secara maya, hari ini.

Randhill berkata, LTSAAS menjadi antara tujuh daripada 39 buah lapangan terbang kendalian MAHB yang menjana keuntungan tinggi.

Katanya, disebabkan LTSAAS menjana untung, perkara itu membantu dalam konsep subsidi silang yang dilaksanakan MAHB kerana pihaknya turut mengendalikan lapangan terbang kurang menjana keuntungan.

Beliau berkata, menerusi Pelan Pembangunan Semula LTSAAS itu, MAHB membuat pelaburan sebanyak RM1.3 bilion, membabitkan RM300 juta untuk penyediaan infrastruktur asas.

“Inisiatif terbabit akan menyediakan lebih 19,000 peluang pekerjaan.

“Kami juga akan membawa 30 sehingga 50 pengendali penerbangan baharu dan jumlah ini dua kali ganda daripada jumlah pengendali tempatan serta antarabangsa di LTSAAS ketika ini,” katanya.

Sebelum ini, MAHB dilaporkan sudah menghantar Pelan Pembangunan Semula LTSAAS kepada kerajaan bertujuan menjadikan lapangan terbang berkenaan sebagai hab penerbangan dan aeroangkasa pilihan di Asia Pasifik dalam tempoh lima tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, pada tahun 2020, ekosistem perniagaan di LTSAAS sudah menjana 50 peratus daripada perolehan keseluruhan industri aeroangkasa negara dengan nilai sebanyak RM5.7 bilion.

Jelasnya, LTSAAS kini menempatkan aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) paling bernilai tinggi serta pembuatan produk paling kompleks di negara ini, merangkumi 4,000 tenaga buruh yang menerima purata gaji bulanan antara RM4,000 dan RM25,000.

Berkaitan ⇢