Gelombang haba landa AS, Kanada

|

views

Gelombang haba dilaporkan melanda sebahagian besar Barat Laut Pasifik Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.

Keadaan itu menyebabkan Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS (NWS) mengeluarkan amaran mengenai gelombang haba di seluruh Washington dan negeri Oregon, selain beberapa bahagian di California dan Idaho turut terjejas.

Laman web cuaca Environment Canada melaporkan, titik panas Lytton di British Columbia, kira-kira 250 kilometer (155 batu) timur laut Vancouver memecahkan rekod suhu paling tinggi di negara itu iaitu 46.6 darjah Celsius (116 Fahrenheit).

Lebih 40 suhu baharu dicatatkan di seluruh wilayah pada hujung minggu, termasuk di bandar peranginan ski Whistler.

PETA menunjukkan kawasan di Kanada yang dilanda gelombang panas.

Environment Canada mengeluarkan amaran kepada British Columbia, Alberta, dan beberapa bahagian Saskatchewan, Yukon dan Wilayah Barat Laut bahawa gelombang panas itu berbahaya, akan berlanjutan hingga minggu ini.

Ia turut meramalkan suhu menghampiri 40 darjah Celsius di beberapa wilayah, atau 10 hingga 15 darjah Celsius lebih panas daripada biasa.

Perkhidmatan Cuaca Nasional AS mengeluarkan amaran serupa mengenai gelombang panas berbahaya yang menyaksikan kenaikan suhu sehingga lebih 30 darjah Fahrenheit di atas paras normal di beberapa bahagian Washington dan Oregon.

Isnin dijangka menjadi hari paling panas di bandar besar seperti Seattle dan Portland, dengan rekod tertinggi sepanjang masa kemungkinan berlaku di kedua-dua bandar itu.

Ahli kaji cuaca Environment Canada, David Phillips memberitahu stesen penyiaran CTV bahawa suhu di barat Kanada lebih panas daripada Dubai.

Katanya, risiko kebakaran hutan meningkat, dan paras air di tasik dan sungai menjadi lebih rendah.

Pendingin hawa dan kipas mudah alih dilaporkan habis dijual, sementara ada bandar membuka pusat penyejukan kecemasan dan pekerja turun ke jalanan untuk mengedarkan air dan topi.

Keadaan itu juga membuatkan ramai orang mengunjungi kolam atau tasik untuk menyejukkan diri.

Berkaitan ⇢