Pemilihan UMNO tangguh hingga tahun depan

|

views

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersetuju menangguhkan pemilihan jawatan di semua peringkat iaitu cawangan, bahagian dan MKT selama 18 bulan bermula 30 Jun 2021.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan itu selaras dengan Perlembagaan UMNO Fasal 10.16 yang menyatakan MKT berhak menangguhkan pemilihan di peringkat MKT, bahagian dan cawangan.

Menurutnya, perkara tersebut turut menyatakan bahawa penangguhan tersebut tidak boleh lebih daripada 18 bulan daripada tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan.

“Pada 30 Jun 2021 ini genap tiga tahun pemilihan UMNO. Maka UMNO sepatutnya dalam keadaan biasa perlu membuat pemilihan semula.

“Namun, Mesyuarat MKT sebelum ini menetapkan agar UMNO merujuk kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) bagi mendapatkan panduan kerana negara dan rakyat sedang menghadapi pandemik Covid-19.

“Saya telah menemui sendiri dan menulis surat kepada Ketua Pengarah MKN, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan menulis kepada Ketua Pengarah ROS,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ahmad Maslan berkata, jawapan balas yang diperoleh daripada KKM dan MKN mencadangkan supaya mesyuarat dan pemilihan UMNO ditangguhkan sehingga Covid-19 kembali terkawal sekiranya ia tidak boleh dilaksanakan secara dalam talian.

Mengulas lanjut, beliau mengingatkan bahawa terdapat 66,287 mesyuarat dan pemilihan yang perlu diadakan dengan melibatkan kehadiran seramai 3.3 juta ahli UMNO.

“Terdapat juga 764 persidangan perwakilan bahagian yang terdiri daripada 191 persidangan untuk setiap empat peringkat di bahagian, wanita, pemuda dan puteri.

“Semua ini mesti dijalankan secara serentak dalam tempoh dua hujung minggu. Tentunya sukar persidangan perwakilan bahagian empat peringkat diadakan secara serentak dalam keadaan wujudnya kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat atau PKP Diperketatkan,” ujarnya.

Ahmad Maslan menambah, UMNO tidak pernah melaksanakan mesyuarat dan persidangan dengan pemilihan secara dalam talian di semua peringkat dan pihaknya khuatir masalah akan berlaku sekiranya ada kesilapan teknikal yang tinggi dengan kesukaran liputan internet di kawasan luar bandar.

Bagaimanapun, beliau berkata, mesyuarat peringkat cawangan, bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO 2021 akan tetap diadakan secara dalam talian tanpa diadakan pemilihan dengan kehadiran hanya satu perempat korum iaitu 25 peratus ahli yang terbabit.

“Ini untuk memenuhi prosedur tahunan pertubuhan. Jika ada pemilihan, tentunya tidak boleh syarat satu perempat kehadiran itu dipakai kerana semua ahli seramai 3.3 juta orang mempunyai hak untuk mengundi,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Mesyuarat Pengurusan yang telah dibentang dalam Mesyuarat MKT mencadangkan tarikh Mesyuarat Cawangan empat peringkat tanpa pemilihan perlu diadakan pada 15 Ogos hingga 30 September 2021.

Menurutnya, mesyuarat tersebut boleh diadakan dengan kehadiran hanya satu perempat atau 25 peratus daripada jumlah ahli dengan kaedah maya jika kawasan cawangan itu mempunyai liputan internet.

“Di kawasan luar bandar tanpa internet, bolehlah diadakan secara bersemuka, jika dibenarkan oleh prosedur operasi standard (SOP).

“Jika tidak boleh mengadakan mesyuarat kerana halangan SOP dan halangan liputan internet, kebenaran hendaklah dipohon kepada Ibu Pejabat UMNO yang akan mendapatkan persetujuan daripada ROS,” katanya.

 

Berkaitan ⇢