Agihan pendapatan ASB 3 Didik 4.25 sen seunit

|

views

Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit bagi Amanah Saham Bumiputera 3 (ASB 3 Didik) dan 1.76 sen seunit untuk dana harga berubah, Amanah Saham Nasional Equity 2 (ASN Equity 2), bagi tahun kewangan berakhir pada 30 Jun 2021.

Jumlah pembayaran pengagihan pendapatan untuk dana harga tetapnya, ASB 3 Didik dan dana harga berubah ASN Equity 2 bagi tempoh tersebut berjumlah RM311.2 juta.

Jumlah pengagihan pendapatan bagi ASB 3 Didik adalah sebanyak RM288.4 juta yang akan memanfaatkan 302,672 pemegang unit serta lebih tinggi berbanding RM275.4 juta yang diagihkan pada tahun kewangan 2020.

“Jumlah dividen ASN Equity 2 pula sebanyak RM22.8 juta dan akan memberi manfaat kepada 34,567 pemegang unit dan pengagihan ini bersamaan dengan hasil dividen sebanyak 3.45 peratus berdasarkan Nilai Aset Bersih dana pada 25 Jun 2021,” menurut Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam kenyataan pada Selasa.

PNB berkata, pengagihan pendapatan untuk ASB 3 Didik adalah 240 mata asas mengatasi penanda aras 12 bulan Deposit Tetap Maybank dalam tempoh yang sama iaitu 1.85 peratus.

“Pengagihan 4.25 peratus oleh ASB 3 Didik juga adalah lebih tinggi daripada pulangan harga Indeks Komposit KL FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) sebanyak 3.9 peratus dalam tempoh yang sama,” kata PNB.

Sementara itu, ASN Equity 2 mencatatkan jumlah pulangan sebanyak 6.09 peratus untuk tahun kewangannya berdasarkan Nilai Aset Bersih dana pada 25 Jun 2021.

Ini mengatasi penanda aras berwajarannya sebanyak 0.75 peratus, yang diwakili oleh 80 peratus Indeks 100 Teratas FTSE Bursa Malaysia (FBM 100) dan 20 peratus Deposit Tetap 12 Bulan Maybank.

PNB berkata prestasi kedua-dua dana ASB 3 Didik dan ASN Equity 2 pada umumnya didorong oleh pemulihan pasaran kewangan global dan domestik walaupun dalam keadaan pandemik COVID-19.

“Dana-dana ini juga mendapat manfaat daripada inisiatif kepelbagaian porftfolio masing-masing yang terus memberikan hasil positif dengan peruntukan untuk pelaburan antarabangsa meningkat kepada 20 peratus.

PNB merupakan syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia dengan aset di bawah pengurusan kini melebihi RM300 bilion.

ASNB pula adalah syarikat pengurusan unit amanah PNB dan menguruskan 15 tabung unit amanah dengan unit dalam edaran melebihi 269.6 bilion dan 14.7 juta akaun.

Berkaitan ⇢