Sharifah Amani lantang bersebab

|

views

Tidak dinafikan, dalam kalangan penggiat seni, pelakon Sharifah Amani dianggap lantang bersuara membangkitkan pelbagai isu dan keresahan karyawan, sejak akhir-akhir ini.

Namun, lantang anak didik pengarah, Allahyarham Yasmin Ahmad ini bersebab.

Sebagai anak seni yang mempunyai pengaruh sendiri, tindakan Sharifah Amani menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap situasi yang menimpa industri seni bukan kerana mahu mencari perhatian atau perasan bagus seperti didakwa segelintir pihak.

Sebaliknya, Sharifah Amani atau lebih mesra disapa Nani mengaku berbuat demikian atas dasar simpati melihat nasib rakan seperjuangan, terutama pada era COVID-19.

“Sudahlah industri hiburan sering dipandang sebelah mata, ditambah dengan penularan COVID-19 membuatkan kehidupan anak seni tidak ubah ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

“Penggiat seni hari ini terpaksa bergelut dengan kesusahan lebih-lebih lagi selepas wabak melanda. Apakah usaha yang dilakukan pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kebajikan mereka pada waktu getir seperti ini?

“Kita bukan bercakap soal agihan bantuan dari segi kewangan atau keperluan harian kerana saya sokong usaha dilakukan itu.

“Apa apa yang saya maksudkan adalah usaha untuk jangka panjang. Saya amat bersimpati kepada generasi pelapis yang bukan sahaja berbakat besar, malah komited.

“Namun disebabkan sistem kerja kita yang masih pada takuk lama membuatkan mereka putus harap untuk terus berkarya,” katanya kepada BH Online.

Nani berkata, pihak berwajib perlu melihat bagaimana pemain industri di negara jiran bersungguh dalam usaha untuk meneruskan survival mereka.

“Pandemik COVID-19 adalah isu global. Namun, berdasarkan kaji selidik yang saya lakukan, industri sinema di India, Thailand dan Indonesia makin rancak.

“Indonesia misalnya ada seorang pemimpin persatuan seni yang cukup berpengaruh iaitu pelakon. Lukman Sardi.

“Dia berusaha melobi bagi memastikan pelakon dan pekerja belakang tabir diberi vaksin bagi memastikan industri mereka bergerak dan tidak mati.

“Itulah gunanya jika kita mempunyai seorang pemimpin persatuan yang berpengaruh supaya suaranya dapat didengari.

“Bagaimanapun, apa yang berlaku di sini berbeza. Pihak yang dipertanggungjawabkan hanya akur dengan arahan tanpa mahu mencuba mempertahankan kebajikan penggiat seni,” tegas pelakon yang mula mencipta nama menerusi filem Sepet ini.

Tambah anak kepada pelakon hebat Fatimah Abu Bakar ini, selagi tiada perubahan sistem kerja yang diamalkan, agak mustahil untuk industri seni perfileman tempatan berkembang.

“Saya bersuara mengenai perkara ini sejak 2013 dan pelbagai pemimpin saya temui. Namun, hasilnya tetap sama. Malah mereka menuduh saya pandai merungut sahaja.

“Setiap kali bertukar kerajaan, pasti polisi kerja berubah. Sudahnya nasib anak seni sama tanpa ada perubahan,” luahnya kecewa.

Sharifah Amani berpendapat selagi tiada perubahan sistem kerja yang diamalkan, agak mustahil untuk industri seni perfileman tempatan berkembang. - Foto IG Sharifah Amani
Sharifah Amani berpendapat selagi tiada perubahan sistem kerja yang diamalkan, agak mustahil untuk industri seni perfileman tempatan berkembang. – Foto IG Sharifah Amani

Nani mencadangkan undang-undang yang berkait rapat dengan industri hiburan diwujudkan bagi menjamin kebajikan penggiat seni.

“Daripada kita beri dana kepada pihak yang tidak tentu hala sehingga terpaksa berdepan masalah filem tidak siap ataupun produser cabut lari, lebih baik duit itu kita gunakan untuk mengupah peguam bagi merangka rang undang-undang khusus untuk industri hiburan.

“Kemudian, kita bentangkan di Parlimen. Kalau berlaku pertukaran kerajaan selepas ini, kita sudah ada undang-undang yang boleh memelihara sistem kerja kerja industri kreatif yang lebih tersusun dan terancang rapi,” katanya.

Tidak hanya lantang di media sosial, Nani banyak menzahirkan pandangan berhubung industri kreatif dalam medium YouTube menerusi program Lepak Seni.

Mengulas perkara itu, Nani berkata, program itu adalah salah satu cara untuknya mendedahkan kepada penonton mengenai realiti industri seni.

“Selalunya, apabila bercakap pasal dunia seni, pasti ada yang mengaitkan dengan cerita kontroversi dan sensasi termasuk skandal.

“Sedangkan industri seni kita ada banyak perkara yang lebih bermanfaat untuk diketengahkan berbanding isu murahan seperti itu.

“Kita perlukan perbincangan bersama mereka yang mempunyai tahap pemikiran yang sama dengan kita. “Menerusi program sebegitu, saya dapat mengupas pelbagai isu yang ada kaitan dengan industri seni kita hari ini,” katanya.

Berkongsi pengalamannya, Nani berkata, dia pernah menyertai sesi sembang maya membabitkan penggiat seni Indonesia di mana topik yang dibincangkan sangat menarik dan membuka minda.

“Namun, apabila saya beralih kepada sesi sembang bersama penggiat seni tempatan, topiknya amat menyedihkan seperti nasib anak seni dipinggirkan dan sering menjadi mangsa tipu.

“Isu ini berbalik kepada budaya sistem kerja kita yang tak pernah berubah ini. Masalah yang sama kita hadapi iaitu sejak zaman Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee lagi,” kata pelakon yang bakal muncul dengan filem terbaru berjudul Zombitopia.

Meraikan ulang tahun kelahiran ke-35 pada 10 Jun lalu. Memulakan kerjaya lakonan pada 1992 menerusi watak sebagai kanak-kanak Palestin dalam filem Selubung arahan Shuhaimi Baba.

Meraih trofi Aktres Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-19 melalui filem Gubra pada 2006.

Berita Harian

Berkaitan ⇢