Dulu kawan kini jadi lawan

|

views

PENGHUJUNG Mei lalu mereka berdua adalah rakan sepasukan yang membantu pasukan meraih gelaran Liga Juara-Juara 2020/21 membenam cabaran Manchester City, 1-0.

Mendapat kepercayaan Thomas Tuchel  dengan menurunkan mereka berdua selaku kesebelasan utama Chelsea, peranan dan keserasian dipamerkan mereka berdua begitu ketara hingga memberikan kesukaran kepada City untuk mencipta gerakan.

Tetapi itu adalah peranan dalam saingan Liga Juara-Juara namun kali ini mereka berdua yang dimaksudkan ialah pertahanan Sepanyol, Cesar Azpilicueta dan pemain tengah Itali, Jorginho yang bakal bertembung pada aksi separuh akhir Euro 2020 pada Rabu nanti.

Diturunkan selaku kesebelasan utama bagi pasukan masing-masing, Azpilicueta yang beraksi di posisi pertahanan pastinya mengetahui kemampuan rakan seterunya itu begitu juga sebaliknya bagi Jorginho.

Azpilicueta mahu rakan sepasukan sentiasa mengawasi pergerakan Jorginho.

Lantas Azpilicueta mahukan rakan pasukan agar berhati-hati dengan Jorginho kerana pemain tengah Itali tidak menunjukkan tanda-tanda akan mengalah menjelang perlawanan penting di London nanti.

Namun baginya, bila berada diluar padang mereka adalah rakan namun ikatan sebagai kawan rapat dengan Jorginho apabila akan dilupakan seketika apabila mereka turun beraksi nanti.

“Kami boleh bersembang antara pemain Chelsea, itu normal.Kami akan bertemu satu sama lain, inilah bola sepak.

“Ada kala apabila anda bersama skuad kebangsaan, anda berdepan dengan rakan pasukan kelab. Itu perkara biasa.

“Kami akan beri yang terbaik untuk negara masing-masing dan layak ke final,” katanya.

Jorginho kini antara pemain yang konsisten beraksi bersama Itali.

Jorginho telah turun dalam lima aksi membabitkan 465 minit masa perlawanan, melakukan 371 daripada 391 hantaran kepada rakan sepasukan dan dengan 95 peratus adalah tepat.

Prestasi dipamerkan pemain tengah Itali yang berusia 29 tahun ini sememangnya sentiasa konsisten.

Pemenang antara Sepanyol dan Itali akan bertemu pemenang di antara England atau Denmark pada 12 Julai waktu Malaysia.

 

Berkaitan ⇢