Kes ‘mencanak’ baru gelabah tutup kilang, pekerja dedah majikan ingkar SOP

|

views

Seorang pengawal keselamatan di sebuah kilang yang terletak di Perak mendedahkan majikannya tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dengan membenarkan kilang berkenaan beroperasi melebihi 60% kakitangan.

Malah dia yang enggan namanya didedahkan berkata, kesesakan berlaku dalam kilang berkenaan menyebabkan kes positif Covid-19 yang pada mulanya hanya membabitkan pekerja kini dipercayai merebak dalam kalangan komuniti setempat.

Difahamkan, kilang tersebut akhirnya terpaksa ditutup selepas terdapat peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan pekerjanya.

“Sejujurnya pihak majikan memang tidak mengikut SOP langsung. Apa yang MITI mintak 60% tak capai pun masa PKP 1 Jun dulu, mereka lebih takutkan rugi daripada virus Covid-19 ini.

“Situasi makin teruk! Sekarang baru menggelabah tutup kilang, tetapi sudah terlambat sebab Covid-19 dah merebak sehingga ke kawasan komuniti dan membahayakan orang kampung pula,” katanya kepada FMT.

Dia sebelum ini memaklumkan kepada pihak majikan mengenai kemasukan melebihi had dan pelanggaran SOP dalam kalangan pekerja asing berisiko menyebabkan penularan selepas terdapat kes positif Covid-19 di kilang lain yang berhampiran.

“Ada dalam kalangan pekerja tempatan mengadu mereka risau bila pergi kerja. Di kilang ini pekerja asing yang ramai, mereka ini susah nak dipantau dan degil nak ikut SOP. Bila waktu rehat mereka suka nak berkumpul, belum tengok keadaan dekat asrama lagi.

“Kilang di sebelah dah ada kes, kami maklumkan kepada majikan bahawa ramai yang tidak ikut SOP, jalan berkumpulan tiada penjarakan dan kemasukan pekerja melebihi 60% dan mereka dah bercampur, tetapi masa itu majikan buat tak tahu sahaja,” tambahnya.

Katanya, kebanyakan pekerja memang tidak berpuas hati dan takut risiko jangkitan terutama bagi yang sudah berkeluarga dengan anak yang masih kecil dan ada menjaga ibu bapa yang uzur.

Justeru, dia berharap agar majikan di kilang lain mengambil langkah terbaik sebelum terlambat dengan menutup sementara kilang ketika kes Covid-19 sedang meningkat dalam usaha mengurangkan penularan.

“Bagi kilang lain, memang susah situasi sekarang sebab ramai nak kawal, jadi caranya memang kena tutup kilang. Tutup dua minggu dan jaga betul-betul saya yakin kita boleh kawal, sekarang ini antara keuntungan dan nyawa pihak majikan kena berkorban,” katanya.

Berkaitan ⇢