Tiada Tanda Muhyiddin Akan Berundur Susulan UMNO Tarik Balik Sokongan, Kata BERSATU

|

views

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pimpinan Muhyiddin Yassin pada Khamis menyatakan bahawa tiada tanda yang menunjukkan Perdana Menteri itu mempunyai rancangan untuk berundur diri susulan tindakan parti terbesar dalam gabungan kerajaan Perikatan Nasional menarik balik sokongan terhadapnya pada awal Khamis.

Pada masa yang sama juga, Peguam utama Malaysia menerusi satu kenyataan media tampil menyatakan yang Muhyiddin masih kekal berkuasa sehingga para penggubal undang-undang Dewan Rakyat membuktikan di Parlimen bahawa beliau telah kehilangan sokongan majoriti.

Ketua Penerangan BERSATU Wan Saiful Wan Jan berkata keputusan Presiden Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Ahmad Zahid Hamidi yang menarik balik sokongan parti itu terhadap Perdana Menteri tidak memberi kesan kepada perjalanan kerajaan kerana Muhyiddin masih mempunyai sokongan majoriti.

“Dalam sistem demokrasi Westminster, kerajaan dibentuk oleh seorang Perdana Menteri berdasarkan sokongan terbanyak daripada Anggota Parlimen,” kata Wan Saiful dalam satu kenyataan media sambil merujuk kepada sistem Parlimen Britain.

Peguam Negara Idrus Harun pula berkata, kenyataan sebuah parti yang telah menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Muhyiddin tidak dapat menentukan nasib sesebuah kerajaan dengan Putrajaya juga tidak mempunyai sebarang fakta jelas yang menunjukkan bahawa Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti anggota-anggota Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, para pemimpin Pembangkang dan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad menyelar pendirian Peguam Negara itu, sambil mendakwa Idrus berpihak kepada kerajaan dengan membelakangkan kedaulatan undang-undang.

“Berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat hendaklah ditentukan oleh mereka sendiri, bukan kenyataan media parti atau pemimpin politik.

“Oleh itu, dari segi undang-undang, YAB Perdana Menteri dan Jemaah Menteri sedia ada ternyata masih kekal untuk terus menjalankan kuasa eksekutif persekutuan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan beberapa jam selepas dilihat meninggalkan kediaman peribadi Muhyiddin di Kuala Lumpur.

Pada awal Khamis, Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan keputusan Majlis Tertinggi parti itu untuk menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin dengan serta merta, atas dakwaan kerajaannya yang dibentuk tanpa melalui proses pilihan raya itu, telah gagal menangani pandemik koronavirus dan gagal menegakkan prinsip demokrasi, sambil mendesak supaya Muhyiddin meletakkan jawatan secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk satu tempoh masa yang terhad.

Pengumuman Zahid itu dibuat beberapa jam selepas Muhyiddin melantik dua menteri daripada UMNO iaitu Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Hishammuddin Hussein yang juga Menteri Luar Negara sebagai Menteri Kanan dalam Jemaah Menterinya, iaitu satu langkah yang dilihat sebagai cubaan untuk meredakan ketegangan dengan parti terbesar dalam kerajaan pemerintah di Malaysia itu.

Desakan letak jawatan

Para pemimpin gabungan pembangkang, Pakatan Harapan (PH) pada Khamis turut membuat desakan supaya Muhyiddin melepaskan jawatannya, atas alasan Perdana Menteri itu telah kehilangan sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.

“Apabila ketua parti terbesar itu (UMNO) mengumum menarik sokongan seperti yang berlaku sekarang, maka Perdana Menteri telah hilang sokongan asas parti tersebut dan seterusnya hilang sokongan majoriti ahli Parlimen.

“Oleh itu, Muhyiddin perlu meletak jawatan secara terhormat kerana telah hilang sokongan dan keabsahan sebagai Perdana Menteri,” ujar Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan, merujuk kepada pengumuman Zahid berkaitan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin.

Mereka turut membidas kenyataan yang dibuat oleh Peguam Negara kerana didakwa mempertahankan Muhyiddin dan bukannya mempertahankan keluhuran undang-undang.

“Jelas sekali Peguam Negara bertindak lebih sebagai ahli politik PN daripada mempertahankan keluhuran undang-undang.

“Kami mengingatkan Peguam Negara bahawa Muhyiddin telah dilantik sebagai Perdana Menteri berdasarkan warkah ketua-ketua parti politik yang menyokong beliau, termasuk Presiden UMNO, yang telah dipersembahkan kehadapan Yang di-Pertuan Agong pada 29 Februari 2020,” tegas mereka lagi.

Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad turut mengkritik pendirian Peguam Negara itu kerana didakwa tidak konsisten dalam mentafsir undang-undang.

Ahli Parlimen Langkawi itu juga berkata sewaktu krisis politik pada Februari tahun lepas, Muhyiddin tidak mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen, termasuk enam pemimpin daripada partinya sendiri, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Kami ingin beritahu bahawa di waktu Muhyiddin mendakwa dia mendapat sokongan majoriti, dia juga tidak mengambil persetujuan daripada setiap wakil rakyat, khususnya dari BERSATU.

“Daripada Bersatu, kami enam orang tak menyokong, tapi dimasukkan juga seolah-olah kami menyokong. Jadi ini adalah satu pembohongan. Jika kenyataan dibuat oleh presiden parti tak boleh diterima, sepatutnya kenyataan Muhyiddin tak diterima. Tapi diterima, dan Muhyiddin diisytihar sebagai Perdana Menteri.

“Tapi kali ini pula, kenyataan presiden parti (UMNO) tak boleh diambil kira,” katanya dalam satu sidang media pada Khamis bagi mengumumkan yang pendaftaran parti baharu beliau, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) telah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.

Undi percaya untuk bukti keabsahan

Sementara itu bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali meminta Muhyiddin membuktikan keabsahan kerajaannya dengan mengusulkan undi percaya di dalam Dewan Rakyat.

“Cara terbaik untuk menentukan sama ada Perdana Menteri masih mempunyai sokongan majoriti Anggota Parlimen adalah dengan mengadakan undi percaya. Ini adalah sebahagian daripada proses demokratik.

“Terpulang kepada Muhyiddin, lagi pun parti-parti komponen BN (Barisan Nasional) berkata mereka masih menyokongnya, jadi beliau tidak perlu bimbang. Tetapi andainya beliau tewas dalam undian itu, beliau wajar meletak jawatan bersama-sama dengan seluruh anggota Jemaah Menterinya,” katanya kepada BenarNews.

Pakar perlembagaan, Muhammad Fathi Yusof bersetuju dengan kenyatan Apandi, sambil berkata ia adalah pilihan yang paling wajar untuk dipertimbangkan.

“Tanpa proses undian di Dewan Rakyat, kita tidak dapat menentukan sama ada pengumuman oleh Presiden UMNO itu sebenarnya mewakili majoriti Anggota Parlimen UMNO, atau sebahagian dari mereka, atau pun sekadar diri beliau semata-mata.

“Melainkan semua menteri, timbalan menteri atau pengerusi agensi kerajaan daripada parti UMNO meletakkan jawatan bagi membuktikan sokongan mereka terhadap pengumuman oleh Zahid,” ujarnya, sambil menambah berdasarkan amalan biasa, krisis ini dapat diselesaikan melalui proses pilihan raya umum, namun ia mustahil untuk diadakan dalam keadaan pandemik COVID-19 yang masih meruncing.

Penganalisis politik, James Chin dalam pada itu berpandangan bahawa kemungkinan untuk kerajaan PN tumbang adalah tipis, biarpun UMNO bertindak menarik balik sokongan parti itu terhadap Muhyiddin.

“Majoriti negatif terhadap Muhyiddin tidak secara langsung bermakna ia memberi majoriti positif kepada pihak lawan. Tanpa kekalahan rasmi in Dewan Rakyat, satu-satunya cara untuk menukar kerajaan adalah dengan mengemukakan bukti majoriti positif alternatif kepada Istana Negara, yang bererti “undi tidak percaya yang konstruktif’.

“Kekalahan rasmi di pihak kerajaan – yang bakal mewujudkan lompong kuasa sehingga Perdana Menteri baharu dilantik – boleh digerakkan oleh pembangkang melalui tiga acara; undi tidak percaya, penolakan terhadap usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, atau dengan melalui kegagalan kerajaan untuk mendapat sokongan bagi meluluskan usul Belanjawan.

“Pilihan pertama bakal berdepan jalan buntu selagi mana Yang di-Pertua Dewan Rakyat berjaya melengahkan usul itu bagi memberi kelebihan kepada pihak kerajaan, sementara pilihan kedua dan ketiga pula hanya akan boleh berlaku dalam sesi sidang Parlimen akan datang, bukannya pada sidang sidang selama lima hari yang akan bermula 26 Julai depan,” katanya kepada BenarNews.

Menurut Chin lagi, pendirian UMNO untuk menolak Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri dan keengganan bekerjasama dengan PH juga, tidak memberi sebarang kelebihan kepada parti itu.

Berkaitan ⇢