Agong Malaysia Amat Dukacita Kerajaan Kelirukan Parlimen

|

views

Yang di-Pertuan Agong Malaysia pada Khamis secara terbuka menegur kerajaan Perikatan Nasional kerana membuat pengumuman yang mengelirukan Parlimen, dengan ianya dilihat memberi tamparan besar kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang sedang menghadapi cabaran kepemimpinan.

Teguran seumpama itu, yang pertama dizahirkan Seri Paduka berhubung pembatalan Ordinan Darurat, telah menimbulkan kekecohan pada sidang khas Parlimen, dengan para penggubal undang-undang mendesak Muhyiddin supaya meletakkan jawatan sebagai perdana Menteri.

Muhyiddin kemudian mengeluarkan satu kenyataan panjang lebar bagi memperjelaskan bahawa kerajaannya telah mengambil tindakan secara teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Seri Paduka menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman yang dibuat di Parlimen pada 26 Julai bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat kerana pembatalan itu belum mendapat perkenan Seri Paduka.

“Perkara 150(28) dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubahan dan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat terletak kepada Seri Paduka…Kenyataan Yang Berhormat Menteri (Takiyuddin) di Parlimen pada 26 Julai adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara pada Khamis.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun dalam majlis menghadap secara maya pada 24 Julai bahawa sebarang cadangan pembatalan Ordinan Darurat perlulah dibentang dan dibahaskan di Parlimen.

“Pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen, dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara, malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan Istana Negara itu.

Ahmad Fadil berkata Yang di-Pertuan Agong sedia maklum akan perlunya baginda bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri mengenai perkara berkaitan hal ehwal negara, namun Seri Paduka menzahirkan pandangan bahawa baginda, selaku Ketua Utama Negara, mempunyai kewajipan untuk menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebarang tindakan yang tidak berperlembagaan oleh mana-mana pihak.

Berkaitan ⇢