Fizo ‘seloroh’ nak kahwin hujung tahun

|

views

Pelakon Fizo Omar, 36, hanya berseloroh dengan pengikut dalam laman sosial apabila meluahkan hasrat mahu mendirikan rumah tangga pada penghujung tahun ini.

Fizo atau nama sebenarnya, Wan Hafizol Wan Omar mengumumkan berita mengejutkan itu ketika menyambut ulang tahun kelahirannya pada Isnin lalu.

Berdepan kegagalan rumah tangga, dua tahun lalu, Fizo berkata, dia tidak akan menyembunyikan sekiranya sudah menemui jodoh yang sesuai dan kembali hidup berumah tangga.

“Secara jujurnya, saya sudah bersedia kembali berumah tangga selepas dua tahun hidup menduda.

“Lagipun, saya tidak mahu membazirkan usia muda. Cuma, saya masih menunggu calon isteri bersesuaian dan serasi untuk dijadikan pasangan hidup. Jika sudah sampai seru, saya memaklumkannya.

“Saya pun tidak tahu penghujung tahun bila mengenai perancangan mahu berumah tangga,” katanya kepada BH Online sambil ketawa.

Berkongsi ciri wanita pilihannya, pelakon kembali meledak menerusi drama Adellea Sofea dan Rindu Awak Separuh Nyawa itu berkata, dia mengimpikan wanita yang ringkas, tetapi boleh memahami kerjayanya sebagai selebriti dan ahli perniagaan.

Paling penting, katanya, mampu menjadi isteri dan ibu baik kepada puteri kesayangannya, Wan Maryam Wan Hafizol, 3.

Puteri kesayangan Fizo Omar, Wan Maryam Wan Hafizol adalah insan pertama akan diperkenalkan kepada wanita yang menjadi calon isterinya. - Foto IG Fizo Omar
Puteri kesayangan Fizo Omar, Wan Maryam Wan Hafizol adalah insan pertama akan diperkenalkan kepada wanita yang menjadi calon isterinya. – Foto IG Fizo Omar

Pelakon kelahiran Fizo, sekiranya sudah bertemu calon sesuai, Maryam adalah insan pertama akan diperkenalkan kepada calon wanita pilihannya itu.

“Maryam sangat akrab dengan saya. Maryam sudah pandai menunjukkan sifat cemburu jika ada wanita sahaja mengusik dengan duduk di sebelah saya.

“Walaupun Maryam masih kecil, tetapi saya sudah mula menerangkan kepadanya saya perlu berkahwin. Saya beritahu, Maryam akan ada ‘mummy baharu’ jika saya berkahwin.

“Alhamdulillah, Maryam semakin memahami dan menerimanya,” katanya.

Biarpun pernah berdepan detik kegagalan dalam alam rumah tangga bersama usahawan, Mawar Abdul Karim, Fizo berkata, dia tidak pernah serik mahu berkahwin semula.

“Setakat ini, saya tidak pernah terdetik ada serik mahu mencari jodoh. Bagi saya, kegagalan lalu adalah satu pengalaman yang terbaik untuk pedoman hidup.

“Insya-Allah, perkahwinan kedua ini mungkin lebih baik, malah saya sudah bersemangat kembali memulakan hidup baharu. Saya mengharapkan peminat dapat mendoakan terbaik untuk jodoh saya,” katanya.

Fizo mendirikan rumah tangga dengan Mawar pada 2013, bagaimanapun mereka bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat selepas enam tahun hidup bersama berikutan tiada lagi persefahaman.

Berita Harian

Berkaitan ⇢