Ahmad Zahid: Ahli Parlimen UMNO Tarik Balik Sokongan Terhadap Kerajaan Muhyiddin

|

views

Cengkaman kuasa oleh Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin bertambah lemah pada Selasa apabila ketua parti terbesar dalam gabungan yang membentuk kerajaan mendakwa bahawa sebahagian daripada Ahli Parlimennya telah menarik balik sokongan mereka, dengan bilangan yang cukup untuk menjatuhkan perdana menteri itu.

Presiden parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Ahmad Zahid Hamidi berkata dalam satu sidang media bahawa beliau telah mempersembahkan surat akuan dari sekurang-kurangnya 12 Ahli Parlimen parti itu kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bagi membuktikan bahawa Muhyiddin telah kehilangan sokongan majoriti di Parlimen.

Mereka yang menandatangani surat akuan itu, termasuk Ahmad Zahid sendiri, seorang menteri Kabinet pentadbiran Muhyiddin, dan beberapa lagi pemimpin UMNO, kata beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, tanpa berkongsi maklumat lanjut mengenai pertemuan dengan Sultan Abdullah.

“Sebagai bukti, Ahli-ahli Parlimen dari UMNO yang telah menandatangani surat akuan yang telah saya utuskan kepada Yang di-Pertuan Agong, dan untuk keabsahan juga, bersama-sama saya adalah ahli-ahli Parlimen yang telah menandatangani semua surat akuan yang ada ini,” Ahmad Zahid berkata kepada wartawan di Ibupejabat parti itu di Kuala Lumpur.

Sepuluh Ahli Parlimen yang menyertai beliau pada sidang media itu termasuklah bekas perdana menteri Najib Razak, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said, bekas Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan, dan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Najib yang kehilangan kuasa dalam Pilihan Raya Umum 2018, sedang berdepan dengan perbicaraan bagi 42 pertuduhan jenayah berkaitan penyelewengan berbilion dolar dari syarikat dana negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Terdapat beberapa lagi Ahli Parlimen yang tidak dapat bersama pada hari ini kerana berada di kawasan masing-masing, terutamanya yang berada di Sabah,” kata Ahmad Zahid. “Tetapi apabila permohonan saya untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong sekali lagi diperkenankan, saya akan mempersembahkan surat akuan tambahan kepada Baginda.”

Beberapa minit sebelum sidang media tersebut bermula, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Anuar Nasarah telah mengumumkan peletakan jawatan beliau daripada pentadbiran Muhyiddin.

“Mengambil kira beberapa keputusan dan pendirian parti. Maka, sebagai ahli UMNO yang patuh dan setia kepada parti, saya dengan ini meletak jawatan sebagai Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan,” kata Shamsul dalam satu kenyataan.

UMNO sebelum ini telah membuat keputusan untuk menarik sokongan parti itu kepada Muhyiddin kerana mendakwa bahawa kerajaan telah gagal mentadbir negara dengan baik ketika pandemik COVID-19, dan mendesak supaya beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Parti berusia 75 tahun itu mempunyai sembilan orang menteri dalam Kabinet Muhyiddin, termasuk Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan merupakan blok terbesar dalam gabungan yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

UMNO mempunyai sejumlah 38 daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen (dua daripada kerusi UMNO kosong selepas kematian Ahli Parlimennya), dan diikuti oleh parti BERSATU pimpinan Muhyiddin yang mempunyai 31 kerusi. Sekiranya beliau kehilangan sokongan dari Ahli-ahli Parlimen UMNO, Muhyiddin tidak lagi mempunyai sokongan 112 ahli Parlimen – iaitu satu kerusi lebih dari separuh bilangan penuh Parlimen.

Agong Murka

Hubungan di antara Muhyiddin dan Institusi Diraja dilihat semakin keruh baru-baru ini apabila Yang di-Pertuan Agong secara terbuka telah melahirkan rasa tidak puas hati dengan kenyataan “mengelirukan” yang dibuat kerajaan mengenai status Ordinan Darurat yang telah digubal kerana pandemik. Minggu lepas, Sultan Abdullah menyatakan bahawa Muhyiddin tidak mendapat perkenan daripada Baginda sebelum membatalkan Ordinan Darurat.

Dalam satu kenyataan oleh Muhyiddin pada Selasa memaklumkan bahawa satu usul untuk membolehkan debat serta kemungkinan pembatalan Ordinan Darurat boleh dibawa ke Parlimen pada bulan depan.

Muhyiddin berkata kabinet pimpinannya akan membincangkan mengenai usul tersebut pada Rabu. Beliau turut menyatakan bahawa Proklamasi Darurat telah tamat pada awal bulan ini.

“Dengan berakhirnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos 2021, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, pembatalan ordinan-ordinan darurat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak lagi berbangkit,” tambah Perdana Menteri itu.

210803-MY-Inside-Parlimen.jpg

Ahli-ahli Parlimen ketika sesi persidangan khas di Dewan Rakyat, 26 Julai 2021. [Edaran Jabatan Penerangan Malaysia/Nazri Rapaai/Reuters]

Sementara itu, susulan pengumuman oleh Ahmad Zahid, penganalisa politik Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata Muhyiddin sudah kehilangan kerajaan pimpinannya.

“Apabla Shamsul Anuar letak jawatan sejajar dengan keputusan parti, maka pasti ada pihak lain dijangka berbuat demikian,” Azman berkata kepada BenarNews.

Tambah beliau, Muhyiddin perlu membuktikan bahawa dirinya masih mempunyai sokongan majoriti untuk kekal berkuasa.

“Apabila majoriti diragui dan berita letak jawatan UMNO berlaku maka pembentukan kerajaan interim akan berlaku,” kata beliau.

Sementara itu, James Chin dari Universiti Tasmania pula berkata Yang di-Pertuan Agong mempunyai kata putus mengenai apa akan berlaku seterusnya.

“Kerajaan masih belum tumbang. Ia bergantung kepada Tuanku,” Chin memberitahu BenarNews. “Baginda boleh menerima atau menolak surat akuan. Sekiranya Yang di-Pertuan Agong menerima, Tuanku akan meminta Muhyiddin untuk membuktikan majoriti.”

Untuk itu, kata Chin, Muhyiddin perlu memanggil semula persidangan Parlimen untuk membolehkan undi percaya dibuat.

“Memanggil semula persidangan Parlimen adalah kuasa seorang Perdana Menteri, dan pada waktu ini, tiada insentif untuk beliau berbuat demikian,” tambah Chin.

Berkaitan ⇢