COVID-19: Reaksi Berbeza Tindakan Putrajaya Longgarkan Sekatan Perjalanan

|

views

Tindakan Putrajaya melonggarkan sekatan perjalanan bagi individu yang telah menerima vaksinasi COVID-19 yang lengkap bermula Selasa telah mencetuskan reaksi berbeza, dengan persatuan perubatan utama Malaysia menyifatkannya sebagai keputusan pramatang manakala persatuan hospital swasta pula berkata ia satu langkah setelah kerajaan membuat perkiraan teliti.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Ahad berkata kira-kira 60 peratus populasi dewasa negara itu dijangka menerima dos lengkap imunisasi sebelum 31 Ogos ini, dengan anggaran vaksinasi lengkap bagi 100 peratus penduduknya pada akhir Oktober.

Pakar-pakar kesihatan pula gusar dengan langkah yang akan diambil kerajaan semasa varian berbahaya COVID-19, Delta sedang menular dengan cepatnya, sehingga menyaksikan jumlah jangkitan harian dan kematian naik sehingga mendadak manakala hospital kerajaan pula berdepan kesesakan.

“Mengambil kira maklumbalas pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, kerajaan bersedia memberikan kemudahan kepada individu-individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.

“Keputusan ini dibuat dengan sangat berhati-hati selaras dengan data yang dikumpul di dalam negara tentang keberkesanan vaksinasi lengkap serta prinsip sains dan kesihatan awam yang digunapakai di seluruh dunia,” kata Muhyiddin pada Ahad semasa membuat pengumuman khas mengenai keputusan kerajaan memberikan kelonggaran tersebut.

Tambah Perdana Menteri, bilangan kes kritikal dan kematian akibat pandemik dijangka menurun seiring dengan peningkatan jumlah populasi yang divaksinasi.

Sehubungan itu, menurut Muhyiddin kelonggaran yang akan diberikan antaranya ialah kebenaran menjalani kuarantin di rumah bagi pengembara, termasu kepada bukan warganegara Malaysia tetapi mempunyai kediaman di negara tersebut; kebenaran merentas negeri untuk pasangan suami isteri jarak jauh berjumpa pasangan mereka, serta ibu bapa bertemu anak mereka yang berusia bawah 18 tahun.

Bagi negeri yang telah memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara, mereka yang telah lengkap vaksinasi dibenarkan merentas daerah, boleh makan di kedai makan, melakukan aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan dan tidak berkumpulan, dan juga boleh melakukan aktiviti melancong dalam negeri yang sama.

“Kesemua kemudahan yang saya umumkan hari ini akan mula berkuatkuasa pada Selasa 10 Ogos 2021. Perincian bagi kemudahan ini akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam waktu yang terdekat,” tambah Muhyiddin.

Berdasarkan data dikeluarkan kerajaan, program imunisasi COVID-19 yang dijalankan Malaysia kini bergerak aktif dengan lebih 500,000 dos diberikan setiap hari, yang telahpun meliputi lebih 37 peratus populasi dewasa berusia 19 tahun ke atas yang menerima kedua-dua dos vaksin manakala bagi yang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan pula, ianya telah mencecah lebih 67 peratus.

Data itu juga memaklumkan bahawa sebanyak 24.5 juta dos telah diberikan kepada penerima setakat ini.

Gesa tangguh

Keputusan kerajaan memberikan kelonggaran terhadap individu yang berdos vaksin lengkap itu dibuat semasa negara berkenaan sedang merekodkan bilangan kes melebihi angka 17,000 sehari sejak 14 hari lepas, dengan 10,961 bilangan kumulatif kematian akibat pandemik dicatatkan sejak negara dilanda COVID-19 tahun lalu.

Walaupun situasi di negara itu menurut pakar kesihatan amat membimbangkan dan buruk, Muhyiddin semasa ucapan pada Ahad itu berkata kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan telah dibuat dengan turut mengambil kira kelesuan pandemik yang dialami oleh rakyat.

“Ada di antara kita yang tidak boleh pergi bekerja dan bersosial, ada yang punca pendapatan berkurangan, kehabisan simpanan, dan ada yang sudah tidak tahan duduk berkurung di rumah. Saya faham, ramai yang sudah letih dengan pandemik ini atau berhadapan dengan kelesuan pandemik,” kata beliau.

Kebanyakan daripada kelonggaran itu bagaimanapun hanya akan dapat dinikmati penduduk di lapan negeri dan Wilayah Persekutuan, yang telah memasuki Fasa 2 dan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara.

Negeri-negeri tersebut adalah Perlis dan Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan (Fasa 3), manakala Pulau Pinang, Perak, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Sabah pula berada dalam Fasa 2.

Sementara itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan supaya menangguhkan langkah memberi kelonggaran tersebut sehingga bilangan kes jangkitan dapat diturunkan ke paras yang selamat.

“Persatuan Perubatan Malaysia mendesak kerajaan untuk menangguhkan kelonggaran sekatan untuk penerima vaksin lengkap sehingga kes berjaya dikurangkan dengan ketara. Sebarang keputusan untuk kelonggaran sekatan mesti disokong dengan bukti saintifik yang mencukupi,” kata Presiden MMA Subramaniam Muniandy di dalam satu kenyataan.

Ini kerana menurut beliau, sebilangan negeri di Fasa 2 menunjukkan peningkatan dalam kes jangkitan COVID-19, dan menarik balik sekatan juga mestilah mengambil kira kumpulan berisiko tinggi termasuk pekerja migran yang belum lagi diberikan vaksin.

“Kerajaan juga perlu menghentikan penekanan terhadap jumlah kes. Yang penting ialah penggunaan katil hospital dan keadaan unit rawatan rapi (ICU) di negara ini. Kita tidak akan mendapat sifar kes Covid-19 dalam masa terdekat,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, pakar epidemiologi dari Universiti Putra Malaysia, Malina Osman pula memberikan amaran terhadap langkah kerajaan itu kerana ianya dibuat semasa varian berbahaya COVID-19 seperti Delta sedang menular pantas dan tersebar luas dengan hospital kerajaan berdepan kesesakan.

“Walaupun kelonggaran itu diberikan kepada mereka yang telah menerima vaksinasi lengkap, kita mesti berhati-hati dengan kewujudan ‘Variants of Concern’. Saya lebih suka sekiranya kelonggaran ini ditangguhkan terlebih dahulu, terutamanya untuk kemudahan seperti makan di kedai dan kuarantin rumah untuk pengembara.

“Data yang ada sekarang menunjukkan bahawa walaupun seseorang itu telah menerima vaksinasi lengkap, jangkitan masih boleh berlaku. Walaupun peratusannya rendah, tetap terdapat kes di mana pesakit dalam keadaan teruk seperti Kategori 5,” kata Malina semasa dihubungi BenarNews.

Oleh itu beliau berkata, pematuhan prosedur operasi standard mesti diamalkan setiap masa tanpa pengecualian.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Kuljit Singh pula memberitahu BenarNews yang kelonggaran berkenaan menjadi kerisauan pakar kesihatan terutamanya dibuat semasa penularan varian Delta yang berbahaya dan mudah berjangkit, sedangkan peratusan mereka yang telah divaksinasi masih rendah.

Namun, kata Kuljit, beliau percaya bahawa kerajaan juga telah membuat perkiraan teliti sebelum membuat keputusan berkenaan dengan menjangka tidak ada banyak pergerakan akan berlaku kerana syarat yang ketat dikenakan kerajaan.

“Kerajaan seperti mana-mana kerajaan lain, perlu mempertimbangkan untuk membuka sektor ekonomi dengan secara perlahan-lahan. Tetapi kita mesti betul berhati-hati. Jika kita tidak membuka ekonomi semula untuk dua bulan lagi, ia akan menjadi begitu sukar untuk sesetengah sektor. Kita perlukan langkah kecil, sepertimana yang diumum Perdana Menteri di mana hanya negeri Fasa 2 dan seterusnya sahaja boleh.

“Dan ini adalah satu langkah yang dibuat dengan rancangan teliti. Walaupun kelonggaran diberi kepada negeri Fasa 2 dan seterusnya, kebanyakan negeri ini masih belum mencapai peratusan vaksinasi yang tinggi. Jadi, saya tidak menjangka banyak pergerakan akan berlaku kerana majoriti penduduk di sana masih belum divaksin,” kata beliau kepada BenarNews.

Berkaitan ⇢