Gabenor New York letak jawatan, dakwaan gangguan seksual

|

views

Gabenor New York, Andrew Cuomo mengumumkan peletakan jawatannya semalam susulan terpalit dengan dakwaan gangguan seksual terhadap 11 wanita.

Tempat Cuomo, 63, akan diganti Kathy Hochul, rakannya di Demokrat sekali gus menjadi gabenor wanita pertama New York.

Peletakan jawatannya itu bermula dalam tempoh 14 hari.

“Saya fikir, disebabkan perkara ini (dakwaan), adalah terbaik untuk saya meletakkan jawatan,” katanya menerusi siaran televisyen tempatan.

Cuomo sebelum ini terkenal dan dipuji penduduk New York kerana berjaya mengawal pandemik COVID-19, sebelum terbabit dalam tuduhan gangguan seksual serta cubaan menutup kes kematian di rumah jagaan akibat wabak itu.

Berlatarbelakangkan keluarga politik, ayahnya Mario menjadi gabenor selama tiga penggal manakala adiknya, Chris adalah bintang CNN.

Sebelum ini, dia beberapa kali menafikan dakwaan terbabit gangguan seksual menerusi laporan mengejutkan disiarkan pejabat Peguam Negara, Letitia James, minggu lalu.

Bagaimanapun dia memohon maaf terhadap wanita yang terganggu dengan sikapnya kerana mahu menjadi individu yang ‘mesra dengan semua orang’.

“Saya mahu menjadi sangat mesra dengan orang. Saya memeluk dan mencium secara kasual, lelaki dan wanita. Saya memang begitu setiap masa,” katanya.

Berkaitan ⇢