Istana mahu Azhar dedah sokongan terhadap PM

|

views

Istana Negara meminta pengesahan daripada Speaker Dewan Rakyat berhubung majoriti Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Parlimen, kata sumber.

Sumber yang enggan mendedahkan identitinya itu berkata, Istana Negara sudah menulis surat kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun pada 9 Ogos untuk mendapatkan maklumat terkini jumlah Ahli Parlimen yang menyokong Muhyiddin.

“Kemas kini mendapati lebih ramai Ahli Parlimen Umno mengumumkan mereka menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin,” kata sumber.

Menurut laporan, 15 Ahli Parlimen daripada Umno telah menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) baik melalui pengumuman awam atau akuan berkanun (SD), menjadikan jumlah Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan hanya tinggal 100 berbanding 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Sumber itu bagaimana pun tidak dapat memastikan sama ada Azhar telah menjawab surat berkenaan dan usaha untuk menghubungi beliau tidak berjaya.

Bagaimanapun, awal hari ini, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengatakan portal berita Malaysiapost telah menerbitkan sebuah artikel yang mendakwa Azhar telah memberi maklum balas kepada Istana dengan mengakui bahawa kerajaan telah kehilangan majoriti.

Portal itu mendakwa dalam surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Azhar mendedahkan bahawa Muhyiddin hanya mendapat sokongan 100 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat berikutan peletakan jawatan Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad.

Asyraf mencabar Azhar supaya menafikan laporan bahawa beliau ada mengutus surat kepada Agong.

Bekas perdana menteri Najib Razak juga turut mempersoalkan apakah Azhar telah mengutus surat kepada Agong untuk memaklumkan bahawa Muhyiddin hanya mendapat sokongan 100 Ahli Parlimen.

Berkaitan ⇢

SumberFMT