Pendaftaran Parti MUDA Ditolak Kali Kedua, Penaja Sifatkan Ia Taktik Kotor Kerajaan

|

views

Permohonan oleh sebuah organisasi politik anak muda Malaysia untuk menjadi parti politik berdaftar telah sekali lagi ditolak oleh pihak berkuasa negara itu, demikian menurut Naib Presiden penajanya Lim Wei Jit, yang mendakwa keputusan itu merupakan “taktik kotor” kerajaan Perikatan Nasional untuk menghalang pendaftaran mereka.

Pendaftaran Pertubuhan dalam satu kiriman emel kepada penaja parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) telah memaklumkan yang Menteri Dalam Negeri telah menolak pendaftaran parti buat kali kedua sejak ianya didaftarkan pada September tahun lepas, tanpa memberi sebarang sebab.

“Barisan penaja MUDA baru sahaja dimaklumkan melalui kiriman emel dari Pendaftar Pertubuhan bahawa Menteri Dalam Negeri telah menolak rayuan MUDA untuk didaftarkan. Tiada sebarang alasan diberikan,” kata Lim dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Dalam surat penolakan terbaharu yang dilihat oleh BenarNews, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin hanya menulis satu perenggan memaklumkan bahawa permohonan pendaftaran MUDA tidak diluluskan.

“Adalah dimaklumkan bahawa dengan kuasa yang diperuntukkan kepada saya selaku Menteri Dalam Negeri di bawah Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335), permohonan rayuan pendaftaran bagi Ikatan Demokratik Malaysia (Malaysian United Democratic Alliance) (MUDA) adalah TIDAK DILULUSKAN,” kata Hamzah dalam surat itu.

Menteri Dalam Negeri itu juga pada awal Januari lalu telah menolak permohonan MUDA untuk didaftarkan sebagai sebuah parti politik melalui sepucuk surat tanpa memberi sebab di sebalik penolakan tersebut.

Susulan itu, MUDA telah menghantar rayuan kepada Menteri berkenaan pada 4 Februari lalu dengan kumpulan penaja parti kemudiannya memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 April, iaitu apabila mereka gagal mendapatkan jawapan daripada Hamzah dan Pendaftar Pertubuhan mengenai status rayuan MUDA, sebelum mahkamah menetapkan 12 Ogos (Khamis) sebagai hari pendengaran.

Bagaimanapun, menurut Lim, mahkamah telah menunda pendengaran kes mereka kepada jam 2.30 petang pada 18 Ogos depan selepas dimaklumkan bahawa menteri telah membuat keputusan menolak permohonan MUDA.

MUDA adalah sebuah parti politik yang diasaskan bekas Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang juga bekas menteri termuda negara bersama-sama sekumpulan belia lain pada tahun lalu.

Semasa mahu mendaftarkan MUDA, Syed Saddiq yang ditemui media berkata MUDA akan menjadi sebuah parti yang mewakili semua lapisan masyarakat tanpa mengira faktor umur, agama, bangsa, fahaman, ideologi, idealism dengan perjuangannya yang inklusif.

‘Taktik kotor’

Dalam pada itu, Lim yang juga peguam yang bertindak bagi penaja parti berkenaan turut mempersoalkan mengenai waktu penyampaian keputusan oleh Hamzah itu kepada MUDA, yang hanya dibuat beberapa minit sebelum kes semakan kehakiman mengenai permohonan mereka didengar oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“MUDA amat kesal dengan kelewatan yang tidak munasabah untuk mencapai keputusan ini. MUDA telahpun memfailkan pendaftaran hampir 1 tahun lepas iaitu pada 17 September 2020 dengan rayuan kepada Menteri telah dibuat 6 bulan lepas pada 4 Februari 2021.

“Namun, keputusan untuk menolak rayuan MUDA hanya dimaklumkan pada hari pendengaran beberapa minit sebelum perbicaraan mahkamah bermula dengan ‘timing’ keputusan Menteri Dalam Negeri menunjukkan bahawa pihak berkuasa hanya ingin melengahkan pendaftaran MUDA untuk seberapa lama yang mungkin.

“MUDA akan mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri di Mahkamah dalam masa terdekat, dan berharap akan mendapat keadilan yang sewajarnya. Taktik kotor Kerajaan minoriti Perikatan Nasional ini tidak akan melemahkan semangat kami untuk terus menjadi semak dan imbang kepada kegagalan dan kedangkalan kepemimpinan yang ada pada hari ini,” tambah Lim.

Ketua Penerangan MUDA Zaidel Baharuddin pula memberitahu BenarNews bahawa beliau percaya penolakan rayuan parti itu adalah kerana kerajaan Perikatan Nasional mengamalkan sikap berwaspada terhadap gerakan anak muda di Malaysia.

“Berdasarkan tindak-tanduk kerajaan ini, mereka seperti berwaspada dengan orang muda. Lihat siri tindakan diambil kerajaan setakat ini, dari melambat-lambatkan pelaksanaan Undi 18 sehingga kepada usaha mendiamkan suara orang muda yang mengkritik kerajaan.

“Saya rasa mereka amat takut dengan pengundi di bawah usia 45 tahun, dan ia logik jika melihatkan bagaimana mereka telah gagal menguruskan pandemik COVID-19, di mana golongan pengundi muda ini yang paling terkesan dengan kegagalan mereka,” kata Zaidel.

Menurut beliau, sejak penubuhannya, MUDA telah menerima sebanyak 43,000 orang ahli sehingga 12 Ogos dengan parti berkenaan mempunyai cawangan di hampir semua negeri, dan hampir semua kawasan Parlimen.

Walaupun MUDA diasaskan oleh Syed Saddiq yang baru berusia 28 tahun, kata Zaidel, ramai daripada aktivis dan sukarelawan parti itu yang lebih tua dan ia adalah kerana parti tersebut terbuka kepada semua tanpa mengira usia serta latarbelakang agama serta bangsa.

Sementara itu, Bridget Welsh, seorang saintis politik di Universiti Nottingham berkata keputusan Menteri Dalam Negeri untuk menolak permohonan MUDA itu akan tambah membangkitkan kemarahan golongan muda terhadap kerajaan.

“Malaysia menafikan pendaftaran parti MUDA semasa sambutan Hari Belia Sedunia. Bilangan pengundi muda yang berusia antara 21 hingga 30 tahun di Malaysia kini adalah kira-kira 15 peratus daripada bilangan pengundi, dan ia semakin bertambah serta menjadi penentu (pada pilihanraya).

“Keputusan ini bakal menyemarakkan lagi api kemarahan golongan belia, yang kini sudah sedia tidak berpuas hati dan membawa kepada protes kerana kegagalan menangani COVID-19,” kata Welsh melalui ciapannya di Twitter.

Penganalisis itu turut membayangkan bahawa bilangan pengundi muda akan menjadi lebih ramai kerana ketika ini mereka yang berusia 18 tahun ke atas masih belum dibenarkan untuk menjadi pengundi, dan pendaftaran automatik sebagai pengundi masih belum bermula.

Menurut statistik dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada suku pertama 2020, jumlah penduduk yang dikategorikan sebagai golongan belia iaitu berumur antara 15 hingga 30 tahun adalah dianggarkan seramai 9.2 juta, yang mewakili 27.8 peratus daripada keseluruhan 32.7 juta penduduk di Malaysia.

Berkaitan ⇢