Malaysia: Wanita Hamil Digesa Segerakan Pengambilan Vaksin Selepas Kematian Bintang Popular

|

views

Nur Iffah, yang berusia 25 tahun dan kini hamil tujuh bulan anak sulungnya, memutuskan untuk menerima vaksinasi COVID-19 walaupun bimbang mengenai kesan yang mungkin berlaku terhadap anak yang dikandungnya.

Namun, pada minggu ini, wanita itu bersyukur kerana memilih berbuat demikian ketika beliau dan seluruh rakyat Malaysia diselubungi kesedihan susulan kematian seorang bintang popular negara akibat pandemik itu selepas melahirkan anaknya yang keempat.

“Ia adalah berita yang amat menyayat hati… Sebagai seorang bakal ibu, saya berdoa setiap hari supaya beliau selamat selepas bersalin,” kata Nur Iffah mengenai penyanyi terkemuka Malaysia, Siti Sarah Raissuddin, yang meninggal dunia pada Isnin. Beliau berusia 36 tahun.

Kadar vaksinasi bagi wanita mengandung di Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding populasi umum, menurut pihak berkuasa kesihatan, dan penyanyi berkenaan adalah antara ibu hamil yang belum menerima suntikan imunisasi itu.

“Di awal kandungan, saya berasa agak bimbang mengenai kemungkinan kandungan saya menghadapi kesan sampingan vaksin tetapi setelah melihat apa yang berlaku kepada Siti Sarah, saya bersyukur kerana saya telah mengambil suntikan itu,” kata Nur Iffah kepada BenarNews.

“Kematian beliau telah memberi kesan emosi terhadap saya kerana saya juga kini berada dalam trimester ketiga kehamilan,” kata wanita tersebut.

Siti Sarah dimasukkan ke hospital ketika dirinya hamil lapan bulan setelah dijangkiti virus COVID-19 dan mengalami kesukaran untuk bernafas. Dalam usaha untuk menyelamatkan bayi kandungannya, Siti Sarah dikomakan sebelum menjalani pembedahan bagi mengeluarkan bayi lelakinya yang pra-matang.

Siti Sarah meninggal dunia tiga hari kemudian.

Suaminya yang juga pelawak terkenal dan ahli perniagaan Shahmira Muhamad atau lebih dikenali sebagai Shuib Sepahtu berkata seluruh ahli keluarga mereka telah dijangkiti virus itu. Pembantu rumah mereka yang berasal dari Indonesia, juga positif COVID-19 sebelum meninggal dunia pada 6 Ogos lepas.

“Jika anda mempunyai peluang untuk mendapatkan vaksin, rebutlah peluang itu. Kita kini berdepan dengan kematian setiap hari. COVID-19 boleh berlaku dalam sekelip mata,” kata Shuib dalam satu sesi Facebook Live selepas kematian isterinya.

Shuib mengakui bahawa beliau pernah meragui kewujudan virus tersebut.

“Sebelum ini, saya tidak mahu percaya tetapi kini dah kena batang hidung sendiri,” katanya.

“Saya juga pernah bergaduh dengan isteri sebab tak takut keluar ke sana sini untuk berjumpa kawan atas urusan kerja. Isteri saya ada beritahu dia risau jika terkena wabak ini.”

70 kematian sejak Mac

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Noor Hisham Abdullah pada Khamis menyuarakan kebimbangannya mengenai peningkatan kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan wanita hamil di negara itu, yang seiring dengan peningkatan kes dalam kalangan populasi umum. Bilangan kes harian baru-baru ini melonjak melebihi angka 20,000.

Di antara Mac dan Jun lalu, seramai 3,396 wanita mengandung telah disahkan positif virus COVID-19 dengan 70 daripada mereka telah meninggal dunia, kata beliau. Tiada wanita hamil meninggal dunia akibat COVID-19 pada 2020.

Daripada 17 wanita hamil yang meninggal dunia pada Jun, seramai 15 orang belum menerima suntikan vaksin, kata Noor Hisham.

“Kita mesti mendapatkan vaksinasi dan mengasingkan diri serta mengelakkan kawasan yang sesak serta ruang sempit,” katanya kepada BenarNews.

“Tolonglah ambil semua langkah pencegahan bagi mengelakkan diri daripada dijangkiti. Apa yang lebih penting, apabila kita dapat berkumpul semula suatu hari nanti, janganlah ada antara kita yang tidak lagi dapat bersama. Jagalah keselamatan diri dan duduk di rumah.”

Noor Hisham menasihatkan ibu hamil yang dijangkiti virus itu supaya segera ke Pusat Penilaian COVID-19 untuk menjalani pemeriksaan doktor walaupun mereka tidak menunjukkan sebarang gejala.

Beliau juga menggesa wanita hamil yang masih belum mendapatkan tarikh vaksinasi supaya menghubungi klinik kesihatan berhampiran untuk segera mendapatkannya.

210813-MY-Inside-WanitaMengandung.jpg

Seorang wanita hamil tiba untuk melakukan saring COVID-19 di Surabaya, Indonesia, 21 Julai 2020. (AFP)

Lebih berisiko ketika mengandung

Pakar obstetrik dan ginekologi serta pensyarah di Universiti Sains Malaysia, Salina Sany, memberitahu BenarNews bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa vaksinasi COVID-19 adalah selamat untuk mereka yang hamil – walaupun data mengenai impak vaksinasi terhadap kandungan trimester pertama masih terhad.

Doktor itu berkata perubahan fisiologi semasa kehamilan menyebabkan wanita lebih terdedah kepada jangkitan terutamanya ketika mereka berada dalam trimester kedua dan ketiga. Ia juga boleh menyebabkan mereka mengalami keadaan kritikal akibat COVID-19.

“Vaksinasi boleh membantu ibu-ibu hamil untuk mengurangkan risiko mereka,” katanya.

Menurutnya seseorang ibu hamil tidak harus dinafikan daripada menerima vaksin tanpa mengira usia kandungan selagi mana kebaikannya mengatasi risiko yang dihadapi.

Dalam satu panduan yang dikemas kini minggu ini, Pusat Kawalan Penyakit A.S (CDC) menggesa wanita hamil supaya mengambil vaksin, dan kegusaran mengenai kemungkinan vaksin boleh menyebabkan keguguran adalah tidak disokong oleh data.

“Berdasarkan bukti baru mengenai keselamatan dan keberkesanan vaksin COVID-19, CDC mengesyorkan mereka yang sedang hamil supaya mendapatkan vaksinasi bagi melawan virus itu,” kata CDC pada 11 Ogos.

Sehingga kini, hampir 150,000 wanita hamil di Malaysia telah mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksinasi melalui aplikasi pemantauan COVID-19 yang dinamakan MySejahtera, menurut Kementerian Kesihatan negara itu.

Bilangan berkenaan adalah 40 peratus daripada jumlah anggaran wanita hamil setiap tahun berbanding dengan 62 peratus populasi umum yang mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin itu.

Sakinah Mohd Sharif, 35, dari Pulau Pinang yang kini hamil anak ketiga, berkata kematian Siti Sarah memberikan peringatan kepada wanita sepertinya mengenai bahaya COVID-19.

“Kita perlu bimbang dengan peningkatan bilangan kematian dalam kalangan ibu mengandung,” kata Sakinah, yang dijadualkan untuk menerima dos kedua vaksin COVID-19 pada minggu hadapan.

Sementara itu, Nur Iffah pula berkata bahawa beliau terus mematuhi protokol kesihatan yang ketat walaupun telah menerima vaksin lengkap. Kadar jangkitan kes COVID-19 adalah tinggi di negeri utara, Kedah, di mana wanita itu tinggal.

“Saya hanya keluar rumah untuk menghadiri janji temu pemeriksaan kesihatan dan memakai dua lapis pelitup separuh muka serta mengamalkan penjarakan fizikal selepas mendapat tahu bahawa ibu hamil trimester kedua dan ketiga berdepan risiko yang lebih tinggi sekiranya dijangkiti virus itu,” katanya.

Berkaitan ⇢