Krisis COVID-19 Alasan Muhyiddin Kekal Berkuasa

|

views

Pemimpin Malaysia, Muhyiddin Yassin, dalam perutusan yang luar biasa pada Jumaat, memberitahu beliau boleh meletakkan jawatan sebagai perdana menteri tetapi tiada seorang pun Ahli Parlimen yang mempunyai sokongan mencukupi untuk mengambil alih jawatan itu, dan Parlimen perlu membenarkan kerajaannya terus berkuasa sehinggalah krisis COVID-19 dapat dibendung dan pilihan raya umum boleh diadakan.

Semasa menyampaikan perutusan keduanya bulan ini yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen, Muhyiddin yang menerajui kerajaan yang tidak dipilih dan tertekan dengan desakan supaya meletakkan jawatan, buat pertama kalinya berjanji bahawa pilihan raya umum mungkin diadakan selewat-lewatnya pada Julai 2022.

“Pilihan saya yang paling mudah ialah meletak jawatan. Jika saya mengambil keputusan ini, maka selesailah urusan saya dan terserahlah kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk memilih Perdana Menteri yang baharu,” kata Muhyiddin sambil menjelaskan bahawa Perlembagaan membenarkan Yang di-Pertuan Agong melantik perdana menteri dari kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Namun, sehingga saat ini tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri baharu.”

Beliau turut membuat tawaran insentif politik seperti mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri dan memberi hak mengundi kepada mereka yang berusia 18 tahun. Anggota-anggota pembangkang yang dihubungi BenarNews menolak tawaran perdana menteri itu.

Muhyiddin membuat tawaran itu sehari selepas kerajaannya menetapkan 7 Sept sebagai tarikh mengemukakan usul undi percaya di Parlimen terhadap kepemimpinannya, walaupun Yang di-Pertuan Agong menggesa beliau supaya membawa usul itu pada minggu depan bagi menentukan nasib kerajaannya.

Muhyiddin memberitahu negara bahawa beliau mahu pengundi yang memilih pemimpin seterusnya.

“Saya tidak berhasrat untuk terus berpaut pada dahan kuasa. Dalam keadaan ini, adalah wajar mandat dipulangkan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baharu apabila tiba masa yang lebih sesuai,” katanya

“Justeru, bergantung kepada situasi pandemik, saya membuat akujanji bahawa pilihan raya umum ke lima belas akan diadakan selewat-lewatnya pada penghujung Julai tahun hadapan.”

Selain cadangan mengehadkan tempoh masa jawatan perdana menteri kepada dua penggal, Muhyiddin menawarkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat Parti sebagai sebahagian daripada apa yang dilihatnya sebagai usaha untuk mewujudkan rangka persefahaman kerjasama bipartisan bagi memastikan kelangsungan kerajaan yang berfungsi. Walaupun butirannya belum diperincikan, RUU itu merupakan suatu usaha untuk mengelak Ahli Parlimen daripada meninggalkan satu parti untuk menyertai parti yang lain ketika menyandang jawatan.

Rang undang-undang itu memerlukan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Kerajaan juga bersetuju untuk melaksanakan Undi 18 (hak mengundi untuk mereka berusia 18 hingga 21 tahun) tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang akan mengambil masa. Untuk itu, satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan di Parlimen,” katanya.

Muhyiddin berkata beliau mengemukakan cadangan rangka kerjasama itu untuk membolehkan kerajaan terus berfungsi bagi menangani krisis kesihatan dan ekonomi yang berpunca daripada pandemik COVID-19.

“Pada masa yang sama, saya juga seperti anda semua, mempunyai tanggungjawab untuk tidak membiarkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik ini tidak diselesaikan segera,” katanya yang jelas merujuk kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak dan bekas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamid.

Mereka sedang menghadapi perbicaraan mahkamah jenayah bagi pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan 1MDB iaitu dana pembangunan negara yang dicemari skandal. Pendakwa raya Malaysia dan Amerika Syarikat mendakwa bahawa sekurang-kurangnya $4.5 bilion (RM18.8 bilion) telah diselewengkan daripada dana itu oleh Najib dan rakan-rakannya dalam apa yang digambarkan oleh pegawai kehakiman AS sebagai “skandal kleptokrasi terburuk sejak sekian lama.”

Reaksi negatif

Ahmad Zahid, yang merupakan presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) – parti terbesar dalam gabungan kerajaan – mempersoalkan pendekatan Muhyiddin untuk mengekalkan kuasanya.

“Sebagai Ahli Parlimen yang berpegang kepada sumpah jawatan untuk memelihara, melindungi dan mempertahan Perlembagaan, Muhyiddin juga tidak wajar merampas kuasa Yang di-Pertuan Agong, dalam menentukan urusan pelantikan Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada awal Ogos, Ahmad Zahid mendakwa bahawa Ahli Parlimen UMNO telah menarik balik sokongan mereka terhadap Muhyiddin.

Muhyiddin telah dipilih sebagai wakil rakyat Pagoh, sebuah kawasan pilihan raya di negeri selatan, Johor. Pada awal 2020, beliau keluar daripada Pakatan Harapan dan berkerjasama dengan UMNO untuk membentuk gabungan yang diperlukan bagi meyakinkan Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau layak menjadi perdana menteri setelah kerajaan Pakatan Harapan tumbang.

Pada Jumaat, Pakatan Harapan mengeluarkan kenyataan untuk menggesa Muhyiddin supaya segera meletakkan jawatan.

“Ini kali pertama dalam sejarah Malaysia seorang Perdana Menteri yang mengaku kehilangan sokongan majoriti namun secara terang-terangan terus menagih sokongan Pembangkang,” menurut kenyataan itu.

Tiga parti dalam Pakatan Harapan – Parti Keadilan Rakyat, Parti Tindakan Demokratik dan Amanah – menolak tawaran Muhyiddin.

“Kami berkeyakinan bahawa kami mampu mengemukakan suatu perancangan yang lebih baik, terutama untuk menangani pandemik COVID-19, menghidupkan semula ekonomi, serta menyelamatkan rakyat dan mata pencarian,” menurut kenyataan para pemimpin parti itu.

Namun, Ahli Parlimen Parti Tindakan Demokratik dan bekas timbalan menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Ong Kian Ming berkata Malaysia sebaliknya boleh melihat manfaat jangka masa panjang berhubung perkara ini.

“PM Muhyiddin Yassin telah mencadangkan cara untuk bergerak ke hadapan dengan beberapa reformasi institusi yang akan memberikan impak terhadap politik Malaysia jika ia diluluskan (di Parlimen). Saya fikir semua parti politik perlu duduk dan berbincang jika sama ada cadangan yang diberikan boleh diterima atau tidak,” katanya.

Bersatu, parti yang dipimpin oleh Muhyiddin, menyokong rancangannya untuk menjalin kerjasama bipartisan.

“Kerjasama ini membuka pintu kepada semua parti politik di negara ini untuk turut serta dalam perang melawan COVID-19, sejajar dengan amalan ‘seluruh negara’ dan ‘seluruh masyarakat’ yang dilaksanakana kerajaan sambil membolehkan kita untuk kembali fokus kepada keutamaan kita – rakyat,” kata Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan.

Sementara itu, penganalisis politik menyifatkan ucapan PM itu sebagai langkah terdesak untuk terus berpaut pada kuasa, dengan berkata bahawa kerajaan Pakatan Harapan pernah mengusulkan perkara sama sebelum ini.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata sekiranya Parlimen bersidang lebih awal, maka keadaannya semakin berbahaya bagi Muhyiddin.

“Beliau berada dalam keadaan yang amat tertekan supaya menyegerakan tarikh sidang Parlimen… hakikatnya beliau membuat pengumuman itu di TV dan memberitahu bahawa beliau akan bertemu mereka minggu depan, nampaknya ini lebih kepada taktik melengah,” kata Chin kepada BenarNews.

Berkaitan ⇢