UMNO Yakin Kembali Berkuasa, Ahli Parlimen Berlumba Namakan Calon PM

|

views

UMNO mendakwa parti itu memiliki sokongan yang mencukupi untuk kembali berkuasa semasa Ahli Parlimen berlumba-lumba menyatakan ikrar peribadi masing-masing kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung siapa yang mereka sokong sebagai Perdana Menteri ke-9 Malaysia sebelum tarikh akhir yang telah ditetapkan iaitu pada petang Rabu ini.

Beberapa jam selepas Yang di-Pertuan Agong Malaysia pada Selasa memberikan tempoh selama 24 jam kepada Ahli Parlimen untuk menyerahkan akuan berkanun yang telah ditandatangani, parti yang terpalit dengan skandal dan memerintah Malaysia selama berdekad-dekad itu mendakwa ia telah memperoleh sokongan majoriti untuk Naib Presiden UMNO merangkap bekas Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Meskipun Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan bahawa Ahli Parlimen hendaklah merahsiakan nama calon masing-masing, Setiausaha Agung UMNO berkata parti itu bersama rakan kerjasama politiknya telah memutuskan untuk menamakan Ismail sebagai calon PM mereka.

“Hanya satu nama akan diserahkan oleh UMNO/BN sebagai calon Perdana Menteri – Ismail Sabri Yaakob,” kata Ahmad Maslan di laman Twitter.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Armand Azha Abu Hanifah pula mendedahkan lebih banyak butiran mengenai perkara itu.

Beliau berkata sejumlah 115 Ahli Parlimen akan memilih Ismail sebagai calon mereka selepas satu kata sepakat dicapai dengan hampir semua parti yang sebelum ini merupakan sebahagian daripada gabungan kerjasama politik bekas PM Muhyiddin Yassin sebelum beliau meletak jawatan pada Isnin.

“Kami memiliki 40 [sokongan Ahli Parlimen] hari ini. Semuanya telah menandatangani akuan bersumpah [SD]. Seorang lagi… akan berbuat demikian esok [Rabu)],” kata Armand Azha kepada BenarNews sejurus selepas tengah malam pada Selasa.

“Bakinya – Bersatu – semua Ahli Parlimen mereka, PAS dan GPS turut memberikan sokongan masing-masing. Semua telah menandatangani SD masing-masing,” katanya.

ismailsabri5.jpg

Ismail Sabri Yaakob ketika ditemu bual dalam program Selamat Pagi Malaysia terbitan TV1 di Radio Television Malaysia, di Kuala Lumpur, 2 Mac 2021. [Foto ihsan Ismail Sabri Yaakob melalui Facebook]

Pemerintahan penuh kontroversi Muhyiddin selama 17 bulan berakhir selepas UMNO – parti terbesar dalam Perikatan Nasional yang membentuk kerajaan itu – mengumumkan pada Julai bahawa 15 Ahli Parlimen parti itu menarik balik sokongan mereka kepada PM.

Meskipun UMNO berada dalam perikatan itu bersama dengan parti Bersatu yang diterajui Muhyiddin, kedua-duanya sering bertelagah dan telah beberapa kali mengancam untuk menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin. UMNO tidak puas hati kerana parti itu tiidak mempunyai pengaruh dalam tadbir urus negara meskipun mempunyai majoriti Ahli Parlimen dalam gabungan kerjasama politik itu.

Kini UMNO mendakwa parti itu mempunyai sokongan terhadap Ismail daripada Bersatu. Malah Muhyiddin sebenarnya telah bergantung kepada sokongan UMNO bagi mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada Mac 2020, beberapa hari selepas Mahathir meletak jawatan.

Daripada sejumlah 220 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, UMNO mempunyai 38, Bersatu 31 manakala Pasti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) masing-masing 18. Seramai 10 lagi Ahli Parlimen – termasuk 4 Bebas dan 6 daripada parti kecil – turut bersetuju menyokong Ismail, menjadikan jumlah keseluruhan Ahli Parlimen yang menyokong beliau ialah 116, kata Hanifah.

Parlimen Malaysia mempunyai 222 kerusi dengan dua daripadanya kosong selepas kematian penyandang. Ini bermakna seseorang calon memerlukan sokongan 111 daripada 220 Ahli Parlimen untuk membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti.

Yang di-Pertuan Agong telah menetapkan Rabu sebagai tarikh akhir bagi pencalonan PM, kata Azhar Azizan Harun selepas sesi menghadap baginda yang dihadiri oleh semua pemimpin parti utama pada awall Selasa. Baginda menolak untuk mengadakan pilihan raya baharu susulan penularan pandemik dan tanpa pengganti Muhyiddin yang jelas, Seri Paduka perlu memilih seorang pemimpin yang mempunyai sokongan majoriti.

Notis Speaker Dewan Rakyat kepada Ahli Parlimen menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan mereka agar merahsiakan calon PM masing-masing.

Anwar kekal sebagai ‘PM dalam penantian?’

Sebelum pengumuman UMNO, pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim diuar-uarkan sebagai calon utama bagi jawatan PM. Ahli Parlimen UMNO merangkap bekas Menteri Luar Kanan Hishamuddin Hussein dan Ahli Parlimen veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah turut dilihat sebagai calon bagi merebut jawatan itu.

Pakar sains politik Wong Chin Huat bagaimanapun berkata peluang Anwar adalah tipis kerana beliau dilihat sebagai tidak berjaya meraih sokongan majoriti.

Selain itu, “UMNO yakin bahawa jawatan Perdana Menteri adalah milik mereka,” kata Wong kepada BenarNews.

“Sesiapa menyokong Perdana Menteri yang bukan daripada UMNO akan menerima hukuman keras.”

Anwar sebelum ini sering dirujuk sebagai “perdana menteri dalam penantian.” Pada Oktober tahun lepas, beliau mendakwa mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan selepas lebih tiga bulan Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai PM. Mahathir telah berjanji untuk memindahkan kuasa kepada Anwar dalam tempoh dua tahun namun pertikaian dalaman dalam blok pemerintah telah menyebabkan kerajaan itu tumbang.

Wong turut memberi amaran bahawa majoriti tipis yang memihak kepada mana-mana calon hanya akan membawa kepada lebih banyak ketidaktentuan dan percubaan untuk menjadikan kerajaan tidak stabil.

Penyelesaian terbaik ialah dengan mengadakan pilihan raya umum, katanya.

“Ia hanya kira-kira 20 bulan lagi, jadi bersabarlah. Tidak perlu begitu taksub untuk mendapatkan kuasa,” kata Wong merujuk kepada pilihan raya umum yang dijadualkan berlangsung pada 2023.

Yang di-Pertuan Agong tidak menetapkan sebarang tempoh untuk menamakan Perdana Menteri baharu namun penganalisis berkata mereka menjangkakan ia akan diumumkkan pada minggu ini.

Jika Ismail dinamakan sebagai PM, parti berasaskan Melayu iaitu UMNO akan kembali berkuasa selepas lebih tiga tahun ditewaskan dalam pilihan raya buat julung kalinya dalam sejarah kemerdekaan negara oleh gabungan Pakatan Harapan yang diterajui oleh Mahathir dan Anwar.

Media tempatan menyifatkan Ismail sebagai pemimpin berpengalaman luas dalam politik dan tadbir urus. Beliau merupakan Menteri Pertahanan di bawah pemerintahan Muhyiddin, yang melantiknya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada bulan lepas. Beliau telah dinamakan sebagai pemimpin pembangkang selepas UMNO kehilangan kuasa pada 2018.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Berkaitan ⇢