Taliban berjanji tidak balas dendam, ampuni semua penentang

|

views

Taliban yang kini menguasai Afghanistan memberi jaminan tidak akan membalas dendam terhadap musuh dan penentang mereka.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, berkata rejim baharu Taliban sangat berbeza daripada rejim zaman 1996-2001 yang terkenal dengan melaksanakan hukuman rejam dan melarang wanita bekerja dalam persekitaran bersama lelaki.

“Semua yang menentang akan diampuni. Kami tidak akan membalas dendam,” kata Zabihullah kepada wartawan, semalam.

Pengumuman itu dibuat selepas kepulangan pengasas bersama Taliban, Mullah Abdul Ghani Baradar ke Afghanistan, selepas digulingkan Amerika Syarikat (AS) hampir 20 tahun lalu.

Zabihullah berkata, sebuah kerajaan akan segera dibentuk tetapi tidak memberikan butiran lanjut, sebaliknya berkata ia sedia berunding dengan semua pihak.

Katanya, mereka komited untuk membenarkan wanita bekerja, sesuai dengan prinsip Islam tanpa memberikan butiran lanjut.

Sementara itu, di Kabul, kedai tetap dibuka dan Taliban memberitahu kakitangan kerajaan untuk kembali bekerja, namun penduduk kelihatan amat berhati-hati manakala beberapa wanita dilihat berada di jalanan.

Puluhan ribu penduduk Afghanistan dilaporkan berusaha keluar dari negara itu untuk menyelamatkan diri daripada pemerintahan kumpulan itu.

Mereka bimbang dikenakan hukuman kerana sebelum ini berpihak kepada kerajaan yang mendapat sokongan negara Barat selama dua dekad lalu.

Tetapi jurucakap kumpulan itu di Doha, Suhail Shaheen, memberitahu Sky News Britain yang wanita tidak akan disyaratkan memakai burqa yang menutup seluruh wajah, tetapi tidak menjelaskan pakaian dibenarkan.

Taliban kembali berkuasa di Afghanistan selepas Presiden Joe Biden kekal dengan keputusan mengundurkan tentera AS di negara itu mulai September ini.

Berkaitan ⇢