Agong Titah Ahli Parlimen Yang Namakan Calon PM Dari UMNO Menghadap

|

views

Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan para penggubal undang-undang yang telah menamakan Ahli Parlimen UMNO sebagai calon pilihan bagi jawatan perdana menteri untuk menghadap baginda pada Khamis, dengan tujuan mengesahkan sokongan mereka terhadap calon berkenaan, demikian menurut seorang ahli kanan parti.

Titah menghadap itu, dikeluarkan beberapa jam selepas tamatnya tempoh yang diberikan kepada semua Ahli Parlimen untuk menghantar calon perdana menteri pilihan mereka, sekaligus memberi isyarat kemungkinan Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) akan kembali ke tampuk kuasa kerajaan persekutuan. Setiausaha-Agung UMNO Ahmad Maslan mengesahkan mengenai perkara itu pada lewat Rabu.

“Ahli-ahli Parlimen dari UMNO [dan] komponen BN serta tiga lagi parti telah dititahkan hadir ke Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Khamis,” katanya kepada BenarNews.

“Hanya kumpulan yang menang sahaja dijemput untuk pengesahan sokongan sekali lagi di Istana Negara. Bererti Ismail Sabri dengan izin Allah adalah calon Perdana Menteri yang menang,” maklumnya kepada Ahli-ahli Parlimen dari parti itu menerusi satu mesej, lapor portal tempatan, Malaysiakini.

Sekiranya Ismail dinamakan sebagai PM, parti UMNO yang bertunjangkan kepada kaum Melayu akan kembali berkuasa tiga tahun selepas ditumbangkan dalam pilihan raya umum buat kali pertama dalam sejarah kemerdekaan negara itu, oleh gabungan Pakatan Harapan yang diketuai oleh Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim.

UMNO yang dicemari pelbagai skandal, telah menerajui Malaysia selama beberapa dekad, pada Selasa berkata parti itu telah berjaya mendapatkan sokongan majoriti untuk Ismail, yang juga naib presiden parti dan timbalan perdana menteri di bawah Kabinet Muhyiddin Yassin, yang telah meletakkan jawatan sebagai PM pada Isnin.

Bagaimanapun, pada awal Rabu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah menitahkan perdana menteri Malaysia yang baharu perlu membentangkan undi percaya di Parlimen selepas dilantik ke jawatan itu bagi membuktikan dirinya menguasai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Calon Perdana Menteri “hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaaan majoriti ahli Dewan Rakyat,” umum Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan pada Rabu.

Titah Yang di-Pertuan Agong itu menandakan perubahan kepada kaedah pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri tahun lalu yang tidak memerlukan undi percaya diadakan di Dewan Rakyat.

Parlimen dijadualkan disambung untuk sidang biasa pada 6 September tetapi sehingga ini, tidak dapat disahkan sekiranya sesi berkenaan akan diawalkan bagi membolehkan undi percaya dilangsungkan.

Majlis Raja-Raja akan bersidang

Pada Selasa, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Armand Azha Abu Hanifah memaklumkan BenarNews bahawa tiga lagi parti – Bersatu yang diketuai Muhyiddin, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) – serta beberapa parti kecil dan Ahli Parlimen Bebas telah menyatakan persetujuan untuk menyokong Ismail.

Gabungan parti-parti ini memiliki seramai 116 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat yang mempunyai keseluruhan 220 kerusi di Parlimen. Perdana Menteri memerlukan majoriti mudah di kalangan Ahli Parlimen – dalam hal ini ialah seramai 111 orang.

Yang di-Pertuan Agong telah memberi tempoh sehingga jam 4 petang Rabu untuk menghantar deklarasi sokongan mereka bagi calon pilihan masing-masing.

Kenyataan media Istana Negara pada Rabu turut berkata Seri Paduka Tuanku akan mengadakan sidang khas dengan sembilan raja-raja Melayu pada Jumaat bagi membincangkan “isu-isu semasa”.

Kenyataan itu tidak menyatakan dengan jelas bila Yang diPertuan Agong akan memilih calon Perdana Menteri. Ia hanya menyatakan “Baginda akan menamakan Perdana Menteri secepat mungkin susulan kemelut politik yang tidak berkesudahan dan pada masa yang sama negara bergelut dengan isu kesihatan dan ekonomi akibat pandemik COVID-19” susulan lonjakan rekod baharu kes jangkitan baru harian yang dicatatkan pada Rabu.

Al-Sultan Abdullah juga turut menzahir titah bahawa pilihan raya umum tidak dapat dijalankan disebab pandemik COVID-19, dan dengan ketiadaan pengganti yang bagi menggantikan Muhyiddin, ia menjadi bidang kuasa istana untuk memilih penggubal undang-undang yang pada hemat Baginda mempunyai sokongan majoriti sebagai Perdana Menteri.

210818-MY-Inside-Istana Negara.jpeg

Istana Negara di Kuala Lumpur, 16 Jun, 2021. [S. Mahfuz/BenarNews]

‘Mengelak keraguan kemudian hari’

Titah Yang di-Pertuan Agong supaya undi percaya dibuat adalah antara langkah untuk mengelakkan sebarang pertikaian terhadap pelantikan seperti terdahulu – yang melibatkan Muhyiddin yang dilantik tanpa dipilih menerusi proses pilihan raya – menurut pakar perlembagaan Khairil Azmin Mokhtar.

“Agong mempunyai kuasa untuk melantik Perdana Menteri” seperti yang dinyatakan dalam perlembagaan, ujar Khairil, dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kepada BenarNews sambil menambah dengan berkata “Undi percaya ini akan membuktikan proses pemilihan telah dibuat secara teratur dan dapat menepis sebarang keraguan keatas keabsahan pelantikan Perdana Menteri.”

Rabi’ah Aminudin, pensyarah dan penganalisis politik, percaya undi percaya akan mengurangkan risiko ketidakstabilan politik dari terus berlanjutan.

“Memandangkan Malaysia tidak mempunyai undang-undang anti-lompat parti, undi percaya ini perlu bagi mengelakkan perbuatan melompat parti di kalangan Ahli Parlimen yang boleh mencetuskan lebih banyak ketidaktentuan politik – serta bagi memastikan semua pengubal undang-undang lebih bertanggungjawab terhadap keputusan mereka,” katanya kepada BenarNews, merujuk kepada tindakan berpaling tadah daripada parti.

Sebagai contoh, beberapa penggubal undang-undang dari parti pembangkang, Parti Keadilan Rakyat yang diketuai oleh Anwar Ibrahim telah meninggalkan parti dan mengalihkan sokongan kepada gabungan longgar yang diketuai oleh Muhyiddin pada Mac. Anwar mendakwa Ahli Parlimen berkenaan telah diperas ugut atau ditawarkan dengan habuan untuk berpaling tadah.

Tempoh pentadbiran Muhyiddin selama 17 bulan yang penuh kontroversi telah dibayangi oleh ketidakstabilan apabila beliau telah dilantik ke jawatan tertinggi itu selepas Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada Febuari 2020 susulan perbalahan dalam gabungan pemimpin veteran itu.

Muhyiddin kemudian bergantung kepada sokongan Ahli Parlimen UMNO untuk mendapatkan perkenan Yag di-Pertuan Agong untuk mengambil alih jawatan perdana menteri pada Mac 2020. Hubungan parti Bersatu yang diketuai oleh Muhyiddin dan UMNO, bagaimanapun sentiasa berantakan sejak dari permulaan gabungan mereka lagi.

Pemerintahan Muhyiddin berakhir selepas UMNO – parti terbesar dalam gabungan pemerintah kerajaan Perikatan Nasional mengumumkan telah seramai 15 Ahli Parlimennya telah menarik balik sokongan terhadap PM pada 15 Julai lepas. Pada waktu ini, UMNO pula bergantung kepada sokongan parti Bersatu pimpinan Muhyiddin dan 31 Ahli Parlimen parti itu.

Berkaitan ⇢