Lang Merah buru bonus di Kuala Terengganu

|

views

PENGENDALI Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Shahrin Sahak melihat Terengganu FC memiliki waktu rehat yang panjang berbanding pasukannya menjelang aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abdidin, Kuala Terengganu, malam esok.

Jelasnya, lawan mempunyai tempoh rehat sembilan hari berbanding skuadnya yang hanya tiga hari selepas aksi menentang Penang FC, Selasa lalu.

“Kelebihan pada tuan rumah, mereka memiliki rehat yang cukup selain percaya aksi menentang Penang FC tempoh hari disaksikan mereka.

“Kami datang dengan matlamat meraih kemenangan, kalau dapat mata adalah bagus dan jika menang ia bonus buat pasukan,” jelasnya.

Rabith Ataya antara perancang utama Kedah yang perlu diberikan perhatian tuan rumah.

Pada masa sama, Aidil turut lega apabila pemain pertahanan tengah, Renan Alves yang tidak dapat beraksi pada perlawanan menentang Penang FC sebelum ini, akan kembali memperkuatkan pasukan.

“Alves adalah pemain tonggak kami dan kita boleh lihat tanpa aksinya pada perlawanan lalu, kami menghadapi sedikit kesukaran. Kami perlukan dia dari segi fizikal di dalam kotak penalti.

“Tugas saya adalah memberi motivasi tambahan untuk dia lebih bersedia menghadapi perlawanan malam esok,” katanya.

Kedah yang masih ada tiga perlawanan tertunda, ketika ini berada di tangga keempat liga selepas mengumpul 29 mata hasil 15 perlawanan manakala TFC di tangga kedua dengan menghimpun 37 mata selepas 18 aksi.

 

Berkaitan ⇢