India guna vaksin keluaran tempatan, ZyCoV-D

|

views

India mengumumkan kelulusan penggunaan vaksin COVID-19 keluaran tempatan, ZyCoV-D yang berasaskan DNA yang pertama di dunia.

Jabatan Bioteknologi India menyatakan vaksin ZyCoV-D dihasilkan oleh firma farmaseutikal India Zydus Cadila juga diluluskan untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas.

Vaksin tiga dos ini apabila disuntik menghasilkan protein lonjakan virus SARS-CoV-2 seterusnya menimbulkan tindak balas imun.

“Teknologi plug-and-play di mana ia berdasarkan platform DNA plasmid boleh dengan mudah disesuaikan untuk menangani mutasi virus,” kata Jabatan Bioteknologi, yang bekerjasama dengan Zydus Cadila dalam satu kenyataan.

ZyCov-D kini adalah vaksin keenam yang diluluskan oleh New Delhi selepas Moderna, Covishield, Oxford-AstraZeneca, Covaxin (yang dikembangkan oleh firma India, Bharat Biotech), Sputnik V Rusia, dan Johnson & Johnson.

Negara itu memecahkan rekod hariannya awal minggu ini dengan memberikan lebih daripada 9.2 juta dos vaksin dalam program vaksinasi besar-besaran yang bermula pada pertengahan Januari lalu.

Lebih daripada 574 juta dos suntikan sudah diberikan setakat ini di India. Negara yang berjumlah 1.3 bilion penduduk itu dilanda lonjakan besar kes jangkitan pada April dan Mei lalu yang mendorong sistem rawatan kesihatan ke tahap maksimum.

India berharap memberikan suntikan kepada seluruh penduduknya yang layak pada akhir Disember, tetapi dengan hanya sekitar 10 peratus atau 127 juta orang sudah menerima suntikan lengkap, beberapa pakar kesihatan berkata, negara itu perlu meningkatkan pengeluaran vaksin keluaran sendiri.

India setakat ini merekodkan sekurang-kurangnya 433,589 kematian dan lebih daripada 32 juta kes jangkitan.

Berkaitan ⇢