Prestasi ringgit dijangka tidak berubah

|

views

Prestasi ringgit dijangka tidak berubah sekitar RM4.23 hingga RM4.24 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan selepas pasaran diunjur lebih reda susulan perkembangan terkini membabitkan politik tanah air, kata Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim.

Memetik laporan Bernama, Adam berkata, pasaran dijangkakan lebih tenang berikutan teka-teki mengenai pemimpin yang akan menyandang tugas perdana menteri baharu itu sudah diketahui.

“Bagaimanapun, prestasi ringgit yang dijangka tidak berubah itu adalah terhad menjelang acara Simposium Jackson Hole (di AS) yang dijadualkan pada 26 hingga 28 Ogos, 2021.

“Sekiranya simposium itu memberi gambaran mengenai langkah pembelian aset lebih awal oleh pihak Rizab Persekutuan AS (Fed), ini berkemungkinan mengukuhkan dolar AS dan sebaliknya memberi tekanan penyusutan terhadap ringgit,” katanya.

Sementara itu, Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz berkata, ringgit mencatat pergerakan mendatar berbanding dolar AS pada minggu yang baru berakhir ini.

“Laporan terbaharu Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS menunjukkan kalangan penggubal dasar Fed sudah mula membincangkan mengenai usaha menamatkan rangsangan kewangan yang pada masa ini berjumlah AS$120 bilion sebulan.

“Jika itu dilaksanakan, ini akan disusuli dengan langkah menaikkan kadar faedah dan pandangan inilah yang menjadi punca pengukuhan ketara dolar AS berbanding mata wang lain,” katanya.

Pada minggu yang baru berakhir ini, ringgit kebanyakannya rendah berikutan kebimbangan peningkatan kes harian COVID-19 selain penyusutan harga minyak mentah.

Malaysia mencatat sejumlah 23,564 kes harian baharu COVID-19 pada Jumaat iaitu tertinggi setakat ini dan menjadikan jumlah kes kumulatif sebanyak 1,513,024.

Bagi asas mingguan, ringgit pada paras 4.2380/2400 berbanding dolar AS daripada 4.2365/2385 minggu lalu.

Ringgit bagaimanapun diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang utama lain pada minggu sebelumnya iaitu meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1070/1087 daripada 3.1187/1207, mengukuh berbanding pound Britain pada 5.7709/7736 daripada 5.8476/8504 serta naik berbanding euro kepada 4.9474/9498 daripada 4.9775/9798, sebelum ini.

Namun, unit tempatan itu susut berbanding yen kepada 3.8654/8676 daripada 3.8409/8427 dalam minggu sebelumnya.

Berkaitan ⇢