Harga minyak naik lonjak keuntungan Petronas Dagangan

|

views

Keuntungan bersih Petronas Dagangan Bhd melonjak kepada RM82.14 juta pada suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2021 daripada RM3.15 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lalu.

Keuntungan itu berikutan kenaikan harga minyak dan jumlahnya yang lebih tinggi sekali gus pendapatan meningkat kepada RM5.14 bilion berbanding RM2.93 bilion manakala pendapatan asas sesaham naik kepada 8.30 sen daripada 0.40 sen.

Mengulas mengenai prestasi syarikat, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Osman Rani berkata perniagaan Petronas Dagangan kini bertambah baik secara beransur-ansur dari tahun lalu bagaimanapun ia kekal berhati-hati terhadap ketidaktentuan ketika ini dan akan terus mengoptimumkan sumbernya.

“Kami juga akan terus melihat kepada kepelbagaian portfolio sambil memanfaatkan perkongsian strategik serta platform digital yang dapat menyokong strategi berdaya tahan Petronas Dagangan untuk memberikan nilai tambah kepada pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan.

Azrul berkata, seiring dengan mempercepatkan segmen bukan bahan bakarnya, perniagaan runcit akan memperluaskan sudut sedia untuk dimakan di Kedai Mesra ke 80 lokasi di seluruh negara pada akhir tahun ini.

Petronas Dagangan juga akan memanfaatkan platform digitalnya untuk menawarkan pengalaman yang lebih lancar kepada pelanggan melalui integrasi program kesetiaan Mesra dengan aplikasi Setel.

Pada suku yang sama, syarikat itu memperkenalkan aplikasi mudah alih Gas Petronas di kawasan terpilih di Lembah Klang untuk memudahkan pesanan gas memasak.

“Pandemik yang berpanjangan kekal menjadi risiko utama bagi Petronas Dagangan. Namun, kami menjangkakan pengumuman kerajaan baru-baru ini mengenai kelonggaran sekatan perjalanan akan membantu mendorong aktiviti ekonomi.

“Kami akan terus memantau trend pasaran untuk peluang pertumbuhan dan mempercepatkan kempen pemasaran yang disasarkan,” kata Azrul.

Berkaitan ⇢