PM Malaysia Tolak Cadangan Libatkan Pembangkang dalam Kabinet

|

views

Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob pada Isnin menolak sebarang kemungkinan melibatkan penggubal undang-undang dari pihak pembangkang dalam kabinetnya, sehari selepas menyeru semua parti politik untuk bekerjasama bagi memulihkan negara itu daripada pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, timbalan speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said, yang juga ahli UMNO, menyambut saranan rakyat untuk kerjasama bipartisan dan melepaskan jawatan pada Isnin, sambil menegaskan pegawai-pegawai kanan Parlimen tidak seharusnya dijawat oleh ahli kepada gabungan parti pemerintah.

Perdana Menteri mengulangi tawarannya, yang diumumkan pada Ahad, mengundang para pengggubal undang-undang dari pihak pembangkang untuk menyertai dua jawatankuasa yang memberi tumpuan kepada usaha menangani pandemik.

“Tidak ada kerajaan perpaduan yang libatkan parti pembangkang dalam kabinet,” ujar Ismail Sabri dalam sidang media, selepas melawat mangsa banjir di negeri utara, Kedah pada hari pertama beliau memulakan tugas rasmi sebagai Perdana Menteri.

“Kerjasama tidak semesti mereka berada dalam kabinet, tetapi jika ingin bersama dalam menangani COVID-19 boleh memberi pandangan dalam Jawatankuasa Khas tangani COVID-19, begitu juga untuk Majlis Pemulihan Negara, saya jemput mereka untuk duduk bersama selesaikan isu COVID-19 dan dan pemulihan ekonomi,” katanya lagi, sambil memaklumkan yang beliau akan mengumumkan senarai Jemaah Menteri minggu ini.

210823_MY_Sabri.jpg

Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob (bertopi hijau) meninjau lokasi bencana banjir di Yan, Kedah, 23 Ogos 2021 [Ihsan Ismail Sabri Yaakob menerusi Facebook]

Perbalahan pertama

Ismail Sabri mengangkat sumpah dihadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah pada Sabtu, sehari selepas Istana Negara mengumumkan pelantikan naib presiden Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) sebagai perdana menteri kesembilan negara itu.

Perdana Menteri terdahulu itu, Muhyiddin Yassin, meletakkan jawatan pada Isnin lepas, setelah kehilangan sokongan majoriti di kalangan penggubal undang-undang 12 hari sebelum itu.

UMNO telah mencaturkan kejatuhan Muhyiddin dan kembali ke tampuk kuasa tiga tahun selepas mengalami kekalahan pertamanya secara mengejutkan dalam pilihan raya umum.

Parti itu adalah sebahagian daripada gabungan parti pemerintah yang diterajui oleh Muhyiddin, tetapi sekarang ia disokong oleh parti Bersatu yang diterajui oleh mantan perdana menteri itu serta rakan-rakan gabungan.

Dalam perutusan sulungnya yang disiarkan secara langsung pada Ahad, Ismail Sabri meminta semua penggubal undang-undang untuk mengetepikan perbezaan mereka dan bekerjasama untuk memulihkan negara itu yang begitu terkesan dengan pandemik.

Di sebalik seruannya kepada penyatuan, ketegangan mula dapat dilihat dalam gabungan pada Sabtu malam, dengan pemimpin kanan UMNO membuat bidasan pertama terhadap gabungan yang diterajui oleh mantan PM Muhyiddin, yang dikenali sebagai Perikatan Nasional.

Setiausaha-Agung UMNO Ahmad Maslan pada Sabtu menegaskan “kerajaan baharu ini bukan kerajaan PN, tetapi adalah kerajaan Malaysia.”

Sehari kemudian, parti yang dipimpin Muhyiddin membalas dengan mengatakan, “Kepada kami, ia adalah kerajaan Perikatan Nasional.” Ini kerana gabungan yang diketuai oleh Muhyiddin memiliki penggubal undang-undang yang lebih ramai dalam memberi sokongan kepada Ismail Sabri, berbanding UMNO dan rakan-rakan komponennya dalam Barisan Nasional, menurut pemimpin Bersatu.

Gabungan ‘tidak stabil’

Di sebalik perbalahan mulut itu, seorang ahli UMNO – Azalina – menjauhkan diri daripada ketegangan itu dengan meminta pembetulan kepada “kelemahan institusi dalam institusi parlimen negara”.

Dalam satu hantaran di Facebook pada lewat Isnin, beliau mengumumkan pengunduran daripada jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat selepas mendengar “seruan yang kuat dan jelas rakyat untuk kerjasama bipartisan.”

Sebagai seorang ahli UMNO, beliau memberi gambaran, bahawa ia akan memberi kesan kepada tugas beliau dalam menjalankan tugas sebagai timbalan speaker.

“Dalam menjalankan tugas sebagai Timbalan Yang di-Pertua, timbulnya konflik peranan dan tanggungjawab sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yan juga menyandang kedudukan sebagai Ahli Parlimen dalam sebuah Kerajaan Campuran,” ujarnya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook.

Di pihak pembangkang, mereka memberi reaksi kepada pelawaan Ismail Sabri untuk bekerjasama, dengan penuh berhati-hati.

Pakatan Harapan – gabungan yang diketuai oleh Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim – berkata ia akan “meneruskan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif dan bertanggungjawab.”

Lim Guan Eng, Setiausaha-Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), gabungan dalam Pakatan, berkata partinya sedia menimbangkan pelawaan PM untuk menyertai jawatankuasa COVID-19, “dengan syarat tawaran itu bukan menjadikan DAP sebagai wakil sekadar tangkap muat dan ‘pak turut’ kepada pandangan kerajaan semata-mata.”

Ramalan menggusarkan penganalisis politik

Oh Ei Sun, fellow kanan Institut Hubungan Antarabangsa Singapura, berkata beliau tidak yakin dengan pelawaan yang dikemukakan oleh Ismail Sabri kepada pihak pembangkang untuk menyertai jawatankuasa-jawatankuasa bagi menangani pemulihan COVID-19.

“Saya fikir ia adalah helah yang bijak dan licik, umpan dari Ismail Sabri yang sekaligus meletakkan pembangkang dalam dilemma kerana pada sebelah tangan, jika mereka tidak menyertai jawatankuasa ini atau majlis pemulihan, mereka akan dilihat tidak mementingkan kepentingan nasional, tidak bersikap nasionalis, menolak penyatuan dan sebagainya,” ujar Oh kepada BenarNews.

“Tetapi jika mereka menerima pelawaan itu.. dan besar kemungkinan kerajaan ini akan berakhir dengan kegagalan, pihak pembangkang juga akan terpalit kerana bekerjasama dengan mereka.”

Berkongsi nada yang sama, Tricia Yeoh, ketua pegawai badan pengkaji Institut untuk Demokrasi dan Hal-ehwal Ekonomi (IDEAS) yang berpangkalan di Kuala Lumpur, melahirkan kelegaan dengan berakhirnya kebuntuan politik.

Bagaimanapun, “IDEAS mengingatkan bahawa kedudukan politik gabungan pemerintah ketika ini secara relatifnya dalam keadaaan tidak stabil,” ujarnya dalam satu kenyataan.

“Memandangkan perdana menteri baharu mempunyai majoriti yang tipis, perdana menteri perlu memulakan langkah untuk mengembalikan keyakinan terhadap pentadbirannya bagi mendapatkan sokongan yang besar.”

Ismail Sabri mendapat sokongan daripada 114 Anggota Parlimen, menurut kenyataan Istana Negara, dan bakal kehilangan majoriti Parlimen sekiranya hanya empat daripada mereka menukar fikiran.

Parlimen dijadualkan menyambung sidang bermula 6 September dan Perdana Menteri baharu itu, perlu memanggil undi percaya secepat mungkin, selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, parti-parti gabungan pemerintah – dalam memberi sokongan kepada Perdana Menteri baharu – secara terbuka sedang melobi untuk jawatan kabinet.

Hadi Azmi di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Berkaitan ⇢