Kerajaan Thailand keluarkan ketum daripada senarai dadah berbahaya

|

views

Kerajaan Thailand mengeluarkan tumbuhan ketum yang sekian lama digunakan sebagai ubatan herba daripada senarai dadah berbahaya hari ini.

Menerusi satu kenyataan, jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri berkata, pindaan undang-undang di Thailand itu bermakna ketum kini boleh digunakan, dimakan, diminum atau dijual beli secara sah.

Katanya lagi, lebih 1,000 banduan yang menjalani hukuman kerana didakwa melakukan pelbagai kesalahan berkaitan ketum akan dibebaskan.

Pemerhati Hak Asasi Manusia, Phil Robertson, berkata tindakan ‘menghalalkan’ ketum dari Thailand, Malaysia, Indonesia dan Papua New Guinea disambut baik dan sudah lama ditunggu.

Namun tindakan kerajaan Thailand mengeluarkan ketum dikritik pengawal selia perubatan beberapa negara lain sebagai tidak selamat kerana wujud risiko ketagihan dan penyalahgunaan.

Ketum merangsang reseptor otak, sama seperti morfin tetapi kesannya lebih ringan dan di Thailand, ia banyak digunakan di bahagian selatan, terutama dalam kalangan mereka yang bekerja sebagai buruh kasar.

Ketum atau nama saintifiknya, Mitragyna speciosa, adalah spesies pokok kopi yang sudah berkurun lamanya digunakan di Asia Tenggara dan Papua New Guinea kerana mampu mengurangkan kesakitan dengan sedikit kesan mengkhayalkan.

Ia kini semakin popular di Amerika Syarikat (AS), di mana Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) memberi amaran mengenai penggunaannya kerana risiko menyebabkan ketagihan dan salah guna.

Penggunaan ketum tidak dikenakan sekatan antarabangsa walaupun pada bulan lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan ia sedang memeriksa sama ada ia perlu dikawal.

Berkaitan ⇢