GAYA HIDUP Setiap inci tubuh berisiko kanser

Setiap inci tubuh berisiko kanser

-

SEJAK kebelakangan ini, semakin banyak kes kanser membabitkan pesakit muda berbanding lazimnya berlaku dalam kalangan warga emas.

Mengikut laporan Malaysia National Cancer Registry Report 2012 hingga 2016 (MNCRR) menunjukkan ramai wanita pada umur awal 30-an dikesan menghidap kanser.

Data sama mendapati wanita mempunyai risiko mendapat kanser dengan nisbah satu dalam sembilan orang manakala lelaki, satu dalam 10 individu.

Pakar Perunding Onkologi Klinikal Pusat Perubatan Sunway, Dr Nik Muhd Aslan Abdullah, berkata kebanyakan masyarakat hanya mempunyai pendedahan mengenai sesetengah kanser seperti paru-paru, payudara, usus, rahim, ovari dan kanser otak.

“Banyak kanser lain tidak diambil berat seperti penyakit sukar dirawat seperti kanser pankreas, hempedu, perut dan hati.

“Orang ramai perlu tahu kanser boleh terjadi di mana-mana saja inci tubuh termasuk kulit, mata, hidung sehingga ke hujung kaki, dengan semua bahagian terbabit berisiko merebakkan lagi sel kanser,” katanya.

Kanser dianggap paling digeruni

Kanser dianggap paling digeruni, namun kebimbangan kes membabitkan kanser jarang ditemui, contohnya hanya mempunyai lima hingga 10 peratus penghidap dan tiada kaedah rawatan khusus.

“Kanser lazimnya pada usia lanjut 65 tahun ke atas, tetapi statistik terkini menunjukkan pesakit usia muda seawal 30 hingga 38 tahun juga dikesan dan ia membuktikan betapa agresifnya sel itu.

“Pesakit seharusnya tahu apa gejala atau jenis yang mungkin membawa kepada punca mereka menghidap kanser.

“Sebagai contoh, mengambil berat tanda berkait dengan bengkak atau perubahan pada diri. Perlu melihat tanda itu adakah ia berkait dengan kanser yang sudah merebak dan ada pesakit didapati

menderita bahagian lain, namun selepas pemeriksaan sebenarnya adalah penghidap kanser,” katanya.

Katanya, sebagai contoh, pesakit kanser payudara mengalami pembengkakkan pada payudara namun mengalami tanda lain seperti kulit berubah warna, bengkak, sakitnya sudah merebak ke tulang belakang, mengalami sesak nafas serta mata berubah kuning.

“Ada pesakit dengan gejala biasa seperti tidak berselera makan, kehilangan berat badan dan kelesuan tubuh, iaitu tiada tanda khusus, tetapi diperiksa, dia menghidap kanser,” katanya.

Punca kanser daripada virus

Beliau berkata, lazimnya sesuatu kanser mempunyai pelbagai punca, antaranya disebabkan virus.

“Sebagai contoh kanser hati disebabkan virus hepatitis, seperti kanser serviks, dikenal pasti puncanya ialah virus, justeru pelajar sekolah diberikan vaksin sebagai langkah pencegahan.

“Punca lain kanser disebabkan pencemaran bahan kimia dan toksin sama ada daripada makanan, persekitaran atau di tempat kerja atau apa saja jenis pencemaran,” katanya.

Faktor gaya hidup termasuk pemakanan, aktiviti fizikal, berat badan menjadi sebab lain individu menghidap kanser, tetapi bagi kanser payudara, mungkin disebabkan gabungan beberapa faktor yang menyumbang sedikit demi sedikit bagaimana kanser itu berlaku.

Rawatan kanser

Dr Nik Muhd Aslan berkata, dalam merawat kanser, biopsi adalah prosedur penting untuk mendapatkan pengesahan kanser dan apabila diperiksa dengan berdasarkan gen atau mutasi yang dijumpai, doktor dapat memberikan ubat yang paling sesuai dan berkesan berdasarkan mutasi kanser pesakit.

“Misalnya, sekarang kita menggunakan pendekatan rawatan tertumpu. Selain daripada pembedahan dan kemoterapi, kita berupaya menggunakan pendekatan rawatan tertumpu untuk memberi harapan sembuh lebih tinggi.

“Kaedah sejak lebih 10 tahun lalu, juga kita lebih mengutamakan pendekatan doktor berkumpulan atau konsep ‘multidisciplinary team’ iaitu bukan seorang doktor sahaja merawat, tetapi kumpulan itu terdiri daripada banyak kepakaran seperti doktor pembedahan, makmal, pengimejan yang kesemuanya akan mengadakan perbincangan dan membuat rumusan kaedah terbaik.

“Bagaimanapun, pasukan perubatan tetap menempuh cabaran menggabungkan rawatan pelbagai bagi memberikan tahap kesembuhan paling tinggi dengan kesan sampingan minimum,” katanya.

Pencegahan kanser

Beliau berkata, bagi mengatasi cabaran itu, perlu laporan biopsi yang lengkap dan disusuli pelbagai kepakaran seperti pakar pembedahan, radioterapi, pathologi dan lain lain berbincang dalam satu kumpulan untuk memberikan yang terbaik.

Mengulas mengenai pencegahan kanser, katanya, dua aspek perlu dititik beratkan adalah menjalani saringan kesihatan secara berkala dan memperbaiki gaya hidup, pemakanan dan aktiviti fizikal.

“Bagi saya, dua aspek penting dalam pencegahan adalah mengubah gaya hidup, pemakanan dan mula sedar akan keperluan melakukan pengesanan awal.

Ini kerana negara ini masih mencapai tahap rendah. Sekitar 2008 dan 2009, kaji selidik di beberapa negeri peratusan wanita melakukan mamogram hanya 23 peratus, daripada sampel kajian yang dibuat.

Daripada sampel itu, Pahang mencatatkan tujuh peratus, manakala tertinggi adalah Kuala Lumpur iaitu belum mencapai peratusan suku daripada jumlah keseluruhan responden.

Saringan awal sangat penting kerana ada kalangan pesakit yang memiliki gaya hidup sihat mereka dan tidak berisiko tetapi dikesan menghidap kanser.

“Seelok-eloknya mamogram ini dilakukan satu hingga dua tahun sekali, ujian usus endoskopi dalam 10 tahun sekali. Masyarakat perlu tahu, sel kanser sangat cepat merebak, iaitu tempoh berganda.

“Misalnya dalam satu sentimeter (sm) (hingga 2 sm), ia mempunyai satu bilion sel, justeru betapa bergandanya ia akan merebak jika tiada tindakan susulan segera diambil,” katanya mengakhiri perbualan.

Info: Jenis kanser mengikut peratusan tinggi

Wanita: Payudara, diikuti kanser usus & kanser serviks

Lelaki: Kanser usus, diikuti prostat & paru-paru

Kanak-kanak: (1-14 tahun): Leukemia kanser otak, diikuti limfoma.

Usia 15 -25 tahun: Limfoma, diikuti leukemia, testis & tiriod.

Warga emas 75 tahun:

Lelaki: Usus, diikuti paru-paru & prostat

Wanita: Usus, diikuti payudara & paru-paru

Berita terkini

38 lagi warga STIAS disahkan positif COVID-19

SEREMBAN -- Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) Senawang hari ini mengesahkan 38 lagi warganya membabitkan tiga kakitangan dan...

PKPB di Selangor mungkin disambung jika kes terus naik, kata Hisham

Kementerian Kesihatan mungkin mencadangkan perintah kawalan pergerakan bersyarat di Selangor dilanjutkan, jika kes Covid-19 di negeri itu terus meningkat,...

Ingkar kuarantin balik Sabah, polis panggil MB Selangor

Polis akan memanggil Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari ke Bukit Aman dalam tempoh terdekat, bagi memberi keterangan...

Covid-19: Lapan kluster baharu dikesan, jumlah keseluruhan 96

Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan lapan lagi kluster baharu, menjadikan kluster aktif Covid-19 di negara ini kini berjumlah 96. Ketua Pengarah...

Jumpa mayat reput di belakang kuil

Taiping: Mayat reput ditemui penduduk di kawasan semak belakang kuil di Taman Zenith, di sini, semalam. Ketua Polis Daerah Taiping,...

‘Raja’ Macau Scam Goh Leong Yeong lolos panjat pagar SPRM diburu polis

Bukit Aman sedang memburu dalang utama atau ‘Raja’ Macau Scam yang melarikan diri dengan memanjat pintu pagar belakang ibu...

Popular

Anggota Narkotik Ditempatkan Di Semua SJR Bendung Aktiviti Dadah

Anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (JSJN)...

“Bantuan Satu Budaya ” UMNO Sabah Kecewa Kenyataan Shafie Apdal

Alasan keras yang dilemparkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri...