NEGARAKU AM Situasi Semasa Jangkitan Penyakit COVID-19 di Malaysia 29 Mac...

Situasi Semasa Jangkitan Penyakit COVID-19 di Malaysia 29 Mac 2020

-

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 68 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 388 kes.

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 29 Mac 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 150 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 2,470 kes.

Sehingga kini, seramai 73 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 52 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa sehingga kini terdapat pertambahan tujuh (7) lagi kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 34 kes:

  • Kes kematian ke-28 (kes ke-2321) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 91 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang. Beliau dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 26 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 28 Mac 2020 jam 8.48 pagi.
  • Kes kematian ke-29 (kes ke-2123) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 64 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan pada 25 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 28 Mac 2020 jam 10.15 malam.
  • Kes kematian ke-30 (kes ke-2322) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 76 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang. Beliau dirawat di PPUM. Beliau disahkan meninggal dunia pada 28 Mac 2020 jam 11.33 malam.
  • Kes kematian ke-31 (kes ke-2323) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 27 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang. Beliau dirawat Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak pada 27 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 28 Mac 2020 jam 7.44 malam.
  • Kes kematian ke-32 (kes ke-1239) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 50 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi. Beliau merupakan peserta perhimpunan Seri Petaling. Beliau dirawat Hospital Enche’ Besar Hjh Kalsom, Johor pada 22 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 28 Mac 2020 jam 7.44 malam.
  • Kes kematian ke-33 (kes ke-1249) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 37 tahun. Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke negara India. Beliau dirawat di Hospital Permai, Johor pada 21 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 28 Mac 2020 11.25 malam.
  • Kes kematian ke-34 (kes ke-787) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 77 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi. Beliau dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 29 Mac 2020 jam 10.40 pagi.

KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka.

KAPASITI MAKMAL UNTUK MENJALANKAN UJIAN PENGESANAN COVID-19

Pada peringkat awal, Institut Penyelidikan Perubatan (Institute for Medical Research; IMR) merupakan satu-satunya makmal yang terlibat secara langsung dalam menjalankan ujian pengesanan COVID-19 di Malaysia. Kapasiti makmal tersebut kini telah diperluaskan dan diperkukuhkan melibatkan 25 buah makmal di seluruh negara. Jaringan makmal tersebut terdiri dari:

  • Lapan belas (18) buah makmal KKM – iaitu IMR, Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh, dua belas (12) buah makmal di peringkat hospital KKM dan empat (4) Makmal Kesihatan Awam di peringkat negeri (iaitu di Johor, Kelantan, Perak dan Sabah); dan
  • Tujuh (7) buah makmal swasta – iaitu Lablink (M) Sdn. Bhd., Pantai Premier Pathology Bhd., Neogenix Laboratories Sdn. Bhd., Clinipath (M) Sdn. Bhd., BP Clinical Lab Sdn. Bhd. (Cawangan Glenmarie), Sunway Medical Centre dan Gribbles Pathology Sdn. Bhd.

Terkini, bagi membantu KKM meningkatkan kapasiti ujian pengesanan COVID-19; Kementerian Pengajian Tinggi serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menyediakan sepuluh (10) makmal diagnostik tambahan di institusi pengajian tinggi, hospital pengajar universiti (HPU), termasuk satu (1) makmal bergerak yang boleh dihantar ke kawasan hotspot. Kesemua sepuluh (10) makmal diagnostik tambahan ini akan dapat melaksanakan 42,420 ujian pengesanan sebulan atau 1,414 sehari.

KEPERLUAN SUKARELAWAN PASUKAN BANTUAN KESIHATAN DAN PERUBATAN COVID-19

KKM ingin memaklumkan bahawa pihak KKM mengalu-alukan perkhidmatan sukarelawan kesihatan dan perubatan dalam menangani penularan kejadian COVID-19 di Malaysia. Sehingga hari ini, seramai 157 sukarelawan telah menyertai dan ditugaskan sebagai sukarelawan yang ditempatkan secara berperingkat untuk membantu pasukan bantuan kesihatan dan perubatan COVID-19. Sejumlah 1,008 orang lagi bakal menyertai pasukan perubatan di hospital, iaitu mereka terdiri daripada pelbagai profession perubatan.

Mengambil kira situasi semasa, KKM menyeru lebih ramai sukarelawan dapat tampil menyertai pasukan bantuan kesihatan dan perubatan COVID-19 dengan mengisi Borang Pendaftaran Anggota Sukarelawan Pasukan Bantuan Kesihatan Dan Perubatan COVID-19 di laman sesawang Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

Daripada 34 kes-kes kematian berkaitan COVID-19 yang direkod setakat ini, didapati 55.6 peratus adalah berumur 60 tahun dan ke atas, manakala 67.6 peratus menghidap penyakit kronik misalnya; diabetes, hipertensi, penyakit buah pinggang dan penyakit jantung.

Mereka lebih berisiko mendapat jangkitan COVID-19 yang lebih serius; iaitu mengalami gejala dan komplikasi yang teruk. Oleh itu, adalah penting bagi mereka dan ahli keluarga mereka mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak dijangkiti COVID-19. Pastikan bekalan ubat pesakit adalah mencukupi dan tidak terputus. Perkhidmatan kesihatan masih lagi diteruskan di semua fasiliti kesihatan KKM khususnya bagi temujanji rawatan susulan dan mendapatkan bekalan ubat-ubatan.

Sekiranya diperlukan khidmat nasihat, orang awam boleh menghubungi virtual health advisory dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang setiap hari dan mengikuti sesi Facebook live KKM dari 10.00 pagi hingga 10.30 pagi dan Facebook live DoctorOnCall dari 3.00 petang hingga 3.30 petang yang akan diadakan dari hari Isnin sehingga Jumaat.

Orang awam juga boleh menghubungi talian CPRC Kebangsaan, KKM. Maklumat lanjut mengenai kejadian COVID-19 di Malaysia boleh juga didapati melalui saluran telegram CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia; https://t.me/cprckkm.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.

BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

(SEHINGGA 29 MAC 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)

NEGERI  BILANGAN KES BAHARU BILANGAN KES KUMULATIF
PERLIS 0 10
KEDAH 1 75
PULAU PINANG 1 87
PERAK 11 176
SELANGOR 33 612
NEGERI SEMBILAN 9 162
MELAKA 1 43
JOHOR 24 309
PAHANG 12 96
TERENGGANU 2 47
KELANTAN 15 123
SABAH 0 197
SARAWAK 11 129
W.P. KUALA LUMPUR 28 372
W.P. PUTRAJAYA 2 22
W.P. LABUAN 0 10
JUMLAH KESELURUHAN 150 2,470

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
29 Mac 2020 @ 5.00 petang
 

Berita terkini

‘Raja’ Macau Scam Goh Leong Yeong lolos panjat pagar SPRM diburu polis

Bukit Aman sedang memburu dalang utama atau ‘Raja’ Macau Scam yang melarikan diri dengan memanjat pintu pagar belakang ibu...

ADUN Kunak positif COVID-19

KUNAK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Norazlinah Arif hari ini memaklumkan beliau disahkan positif COVID-19. Menerusi hantaran di akaun...

4 pengadil dilayang ‘kad merah’

Tiada ihsan ke atas pengadil yang gagal melaksanakan tugas dengan baik selepas empat pengadil dilayangkan 'kad merah' dan empat...

Proton Persona dipandu gila sebelum terbakar

Kajang: Kereta Proton Persona yang terbakar di Jalan Suakasih Bandar Tun Hussein Onn di sini, pagi tadi, dikesan dipandu...

Banjir teruk landa beberapa negara Asia

HYDERABAD: Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh berikutan hujan lebat dan banjir yang melanda selatan India. Di Hyderabad, sembilan orang terbunuh selepas...

Datuk Seri berjaya lari dibantu dua pengawal peribadi

Bukan melarikan diri bersendirian sebaliknya Datuk Seri yang dikaitkan dengan sindiket Macau Scam didapati dibantu dua pengawal peribadi ketika...

Popular

Anggota Narkotik Ditempatkan Di Semua SJR Bendung Aktiviti Dadah

Anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (JSJN)...

“Bantuan Satu Budaya ” UMNO Sabah Kecewa Kenyataan Shafie Apdal

Alasan keras yang dilemparkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri...